Hiburan
"Takut Pengsan Belakang Pentas" - Ada Sebab Atilia Tolak Tawaran Gegar Vaganza
Penyanyi Atilia Haron mendedahkan dia terpaksa menolak tawaran untuk memasuki pertandingan realiti nyanyian seperti Gegar Vaganza kerana sukar menangani tekanan.
Ujar Atilia, dia risau seandainya pertandingan nyanyian sebegitu akan menjejaskan kesihatannya dan memalukan diri di depan khalayak ramai.
"Saya tak reti masuk pertandingan. Kalau dahulu pun pernah sekali je saya masuk pertandingan nyanyian iaitu Mania.
"Tapi minggu pertama sudah terkeluar kerana terlalu tertekan.
"Memang ada tawaran untuk saya masuk rancangan realiti nyanyian seperti Gegar Vaganza tetapi saya rasa saya tak boleh.
"Melihatkan situasi Noryn Aziz sebelum ni pun saya dapat rasakan tekanan itu.
"Jadi, bagi saya pertandingan nyanyian dan rancangan realiti bukan untuk saya mahupun mak saya (Salamiah Hassan).
"Nanti kalau masuk saya pengsan belakang pentas sebab tertekan. Lagipun ramai orang tengok Gegar Vaganza, malu kalau tak mampu nyanyi elok-elok," kata Atilia kepada Gempak.
Sama seperti ibunya, Salamiah Hassan hanya pernah menyertai pertandingan nyanyian sekali seumur hidup menerusi Bakat TV.
Sementara itu kata Atilia dia terkesan apabila namanya jarang dipanggil untuk membuat persembahan di kaca televisyen.
"Terus terang saya katakan saya tidak dapat undangan persembahan Ramadan ini, kalau ada pun untuk majlis korporat sahaja.
"Saya rindu menyanyi tetapi saya pun tak tahu kenapa saya tidak mendapat undangan persembahan di kaca televisyen.
"Kali terakhir saya membuat persembahan bersama ibu saya ketika Anugerah Bintang Popular beberapa tahun lalu," tambahnya.
Must-Watch Video