Laman Utama
Takut Reputasi Tercalar, Aktor Veteran Korea 76 Tahun Minta Kekasih Muda Gugurkan Kandungan
Dunia hiburan Korea Selatan dikejutkan dengan khabar yang datang dari seorang aktor veteran mereka, Kim Yong Gun.
Bapa kepada aktor Ha Jung Woo ini didakwa tidak mahu bertanggungjawab terhadap teman wanitanya yang dihamilkan. Untuk itu, Yong Gun yang berusia 76 tahun meminta wanita yang berusia 39 tahun tersebut menggugurkan kandungannya sebaik mengetahui kekasihnya itu hamil.
Laporan itu pertama kali disiarkan oleh Dispatch pada 2 Ogos lalu, sekaligus mencetuskan beragam spekulasi sebelum Yong Gun tampil memberi kenyataan rasmi, semalam.
Menerusi laporan tersebut, Yong Gun didakwa telah menjalin hubungan dengan wanita yang dilabel sebagai A selama 13 tahun. Mereka bertemu dalam sebuah majlis pada tahun 2008 dan terus menjalin hubungan lebih satu dekad lamanya.
Konflik bagaimanapun tercetus selepas A memberi khabar dirinya hamil pada Mac lalu dan mahu melahirkan bayi hasil hubungan mereka. Namun Yong Gun membantah dan meminta dia menggugurkan kandungan.
Lantaran tidak berpuas hati dengan sikap aktor tersebut, A telah memfailkan saman terhadap kekasihnya itu.
Menyedari kes tersebut sudahpun sampai ke pengetahuan pihak media, Yong Gun menjelaskan situasi menerusi kenyataan rasmi.
"Ini Kim Yong Gun. Pertama sekali saya ingin meminta maaf mengenai khabar telah disaman oleh seorang wanita.
"Saya benar benar minta maaf kepada wanita dan calon anaknya.
"Padahal sehingga sekarang, saya tidak pernah menolak mereka. Saya mengatakan akan menyara dan bertanggungjawab terhadap hal yang terjadi. Namun, saya disaman dan hal ini tidak saya jangkakan sama sekali," tulisnya seperti dilaporkan Soompi.
Yong Gun kemudian melahirkan rasa gusar terhadap perasaan bakal anak yang dilahirkan kelak jika sudah mampu memahami konflik yang terjadi.
Dia melanjutkan bicara dengan mengaku mengenali wanita tersebut selepas berkenalan di sebuah parti. Selepas anak anaknya keluar dari rumah, wanita itu telah menjadi tetamu dan menghidupkan semula kediaman yang kosong tersebut.
"Dia menjaga dan menemani saya ketika sepi dan saya amat berterima kasih untuk itu. Pada bulan April 2021, saya diberitahu oleh pihak lain dirinya hamil empat minggu.
"Oleh kerana kami telah berjanji tentang masa depan, saya akui lebih terkejut daripada gembira mendengar khabar tersebut. Ia berkaitan dengan usia saya dan bagaimana berhadapan dengan anak lelaki saya dan perhatian masyarakat kelak.
"Jadi pada waktu itu saya tidak dapat berbincang dengan baik dan mengatakan dia boleh untuk mengugurkan anak kami kerana keadaan tidak realistik untuknya melahirkan.
"Kemudian pada 21 Mei 2021, dia memberitahu jika saya ingin bercakap dengannya, hanya boleh melalui peguam dan sejak itu dia memutuskan hubungan dengan saya," jelasnya panjang lebar.
Sejak itu baru dia terfikir bahawa tindakan meminta wanita tersebut menggugurkan kandungan bukan hal yang baik dan berubah fikiran.
Setelah anak saya merestui, pada 23 Mei 2021 saya mula memberitahunya saya akan bertanggungjawab terhadap dia dan anak kami.
Namun sayangnya permintaan yang dibuat tidak dilayan.
"Saya akan terus merayu dan meminta maaf atas segala yang terjadi," katanya menutup bicara.
Sebaik melihat kenyataan yang dikeluarkan aktor ini, A masih tidak berpuas hati. Terkini, dia mendedahkan telah didera Yong Gun secara percakapan.
Antaranya adalah: "Adakah ini anak saya? Minggu kehamilan ini tidak betul' selain terus memaksanya menggugurkan kandungan.
Kredit Foto: AllKPop
Must-Watch Video