Gaya Hidup

Takut Sambungan Internet Terputus, Tidak Dibenarkan Solat Tarawih Secara Dalam Talian

gempak
Azwa Rahman
23/04/2020
08:19 MYT
Sponsor Banner
Takut Sambungan Internet Terputus, Tidak Dibenarkan Solat Tarawih Secara Dalam Talian
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berpandangan bahawa orang ramai tidak boleh melakukan solat tarawih secara dalam talian.
Memetik laporan Sinar Harian, syarat berimam bagi seseorang makmum adalah individu itu semestinya dapat melihat fizikal imam berada di satu tempat dan mengetahui pergerakan imam.
"Sebagai contoh, jika kita solat secara dalam talian dan ikut imam di Masjid Negara, tiba-tiba sambungan internet terputus, maka macam mana makmum nak ikut.
"Jadi untuk tahun ini, adalah lebih baik sembahyang di rumah dengan suami atau ketua keluarga. Mungkin tahun ini akan ada ramai imam baru walaupun tak bertauliah," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sehingga 28 April ini dalam usaha untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19.
Sejak pelaksanaan itu, semua aktiviti dan program di masjid serta surau dihentikan buat sementara waktu bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, satu Mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan turut bersidang hari ini bagi mendapatkan pandangan para ulama berhubung beberapa perkara.
"Hari ini kita akan lihat pandangan ulama mengenai solat tarawih, nikah online, jarak sosial dalam solat dan sebagainya. Kita nak dengar pandangan negeri-negeri lain berhubung perkara ini," katanya.
Terdahulu, nikah dan membayar zakat secara dalam talian dibenarkan sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live