Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Takut Suami Terkejut, Victoria Beckham Tak Beri Lihat Wajah Tanpa Solekan

Maliah Surip
07/09/2023 14:37 MYT
Pasangan Victoria dan David Beckham sudah berkahwin lebih 20 tahun. Namun ternyata ada perkara yang masih dirahsiakan oleh mantan anggota Spice Girls itu daripada pandangan mata suami.

Victoria mengaku sejak berkahwin sehingga sudah mempunyai anak, dia tidak pernah ‘membenarkan’ Beckham melihat wajah aslinya!

Pengakuan tersebut dibuat oleh Victoria dalam temu bual bersama The Sunday Times tidak lama dulu.

Menurut wanita yang sangat dikagumi ramai kerana kecantikan dan penampilan juga cita rasa fesyennya yang menarik, dia akan memastikan wajah sudah siap dihias sebelum Beckham melihatnya.

“Beckham tidak pernah melihat saya tanpa secalit solekan terutama saya akan terlebih dahulu melukis kening saya.

“Ya, melukis kening adalah perkara pertama yang akan saya lakukan sebaik bangun tidur,” dedah Victoria.

Victoria menambah dia akan melukis keningnya sebelum dilihat Beckham atau sesiapapun kerana menyifatkan ia ‘bermasalah’.

“Saya mempunyai kening yang sangat tipis dan telah dicabut secara berlebihan sehingga anda akan terkejut jika melihatnya tanpa solekan,” tambahnya.

Meski demikian, Victoria yang kini berusia berusia 49 tahun lebih menghargai dan menikmati proses penuaannya.

“Saya tidak ingin kembali pada usia 25 tahun kerana sewaktu muda saya selalu tidak berpuas hati dengan bentuk badan atau wajah dan asyik terfikir untuk memperbaikinya.

“Ironi ia bukan tentang mengubah apapun tetapi bagaimana meraikan versi terbaik diri sendiri,” katanya lagi.

#Viral #Hollywood #David Beckham #Victoria Beckham #Mekap
;