Pengarah, pelakon dan juga bintang YouTube terkenal, Syahmi Sazli mengambil keputusan untuk menutup perniagaan air balang yang diusahakannya.

Syahmi mengumumkan berita itu menerusi posting terbaharu di akaun Facebook rasmi miliknya.

Menurut Syahmi, walaupun perniagaannya mendapat sambutan namun dia bimbang sekiranya gerainya itu menganggu ruang parkir selain beberapa faktor lain lagi.

“Salam semua. Ni ada berita pasal kedai air balang Mi ni… Mengambil kira beberapa faktor antaranya adalah parking (Mi risau terambil hak parking orang lain) dan faktor lain lagi.

“Mi memutuskan untuk mengakhiri jualan air balang Mi pada minggu ini. Jadi, hari terakhir Mi jual adalah Khamis. Insya-Allah ada rezeki depan hari, Mi akan buka dengan kedai yang lebih besar dan selesa.

“Terima kasih semua yang pernah mengunjungi kedai air balang Mi,” tulisnya.


Dalam pada itu, Syahmi juga memaklumkan air balang hanya dijual dalam bungkusan cawan dan memberi keutamaan kepada mereka yang hadir ke premis perniagaannya.

“Untuk terakhir jual, hanya buat dalam cup sahaja. Tiada yang bungkus sebab takut terlalu ramai biar semua yang datang tu dapat beli dan Mi minta maaf untuk runner, Mi utamakan yang datang ke kedai sahaja.

“Yang mana suruh Mi standby banyak barang, kami dah standby banyak, 780kg (280 paket susu). Tak boleh lebih dah, itu je kudrat Mi dan pekerja mampu setiap hari,” coretnya.


Terdahulu, Syahmi memulakan perniagaan air balang sejak Ramadan lalu dan sehingga kini masih mendapat sambutan.