Vokalis kumpulan Spider, Tam Mustafah mempertikaikan tindakan segelintir pihak yang sering memberi perhatian terhadap individu-individu tanpa bakat.

Tam berkata, mereka yang tidak mempunyai bakat dalam bidang nyanyian seharusnya tidak diangkat dan tidak disensasikan oleh mana-mana pihak, bagi mengelakkan tanggapan negatif orang luar kepada industri seni tempatan.

“Saya rasa, kita jangan beri perhatian kepada golongan sebegini. Jangan sensasikan mereka. Kita raikan artis yang benar-benar berbakat. Sebab mereka itu orang bisnes, jadi kenapa pula kita nak beri mereka peluang untuk keluar TV dan radio?

“Tidak hanya pendengar dan penonton, malah hal ini perlu dipandang serius oleh pihak media juga,” katanya kepada Gempak.

Tam mengulas mengenai lambakan ‘penyanyi-penyanyi’ segera yang kerap dilihat menjadikan bidang nyanyian sebagai sandaran bagi teknik pemasaran masing-masing.

Begitupun, ulas Tam, komposer atau produser muzik tidak patut dipersalahkan jika mereka menerima tawaran untuk menghasilkan lagu bagi kelompok usahawan ini.

“Peminat kena faham beza seni dan bisnes. Buat lagu untuk mereka tak salah. Ia merupakan satu bisnes dan kami (produser serta pemuzik) memberi perkhidmatan untuk menghasilkan muzik untuk mereka.

“Namun, apa yang menjadi masalah apabila kita mengangkat mereka sebaris dengan artis lain. Ia satu fenomena yang kurang sihat.

“Bayangkan kalau orang luar negara lihat mereka sebagai produk seni tempatan, tak ke malu kita?” katanya lagi.