Tamat Kuarantin 14 Hari, Tengku Zafrul Berlari 11Km Sebelum Kembali Bertugas

Syafiqah Jalal
Oktober 18, 2020 08:50 MYT
Sebagai seorang yang aktif bersukan dan menjaga kesihatan, Menteri Kewangan Negara, Datuk Seri Tengku Zafrul memaklumkan beliau teruja dapat melakukan larian pertama sejauh 11 kilometer (km) sebaik sahaja tamat kuarantin kendiri.
Larian itu dilakukan di kawasan berbukit sebelum beliau kembali bertugas di pejabat.
Tengku Zafrul bersyukur kerana selepas 14 hari kuarantin di rumah keputusan saringan Covid-19 yang terbaharu adalah positif.
“Larian pertama di luar rumah sejak kuarantin kendiri selama 14 hari. Alhamdulillah, keputusan saringan kesihatan terakhir adalah negatif.
“Larian hari ini di kawasan berbukit dengan “elevation”. Bagus untuk kesihatan jantung dan stamina. It’s good to be back.
“Akan ke pejabat sebentar lagi untuk urusan kementerian setelah sekian lama bekerja di rumah.
“Terima kasih kepada rakan kerja di MOF (Kementerian Kewangan Malaysia) yang memberi sokongan dalam tempoh yang kritikal ini, lebih-lebih lagi dengan persediaan Belanjawan 2021,” katanya.
Tengku Zafrul berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.
Menerusi entri tersebut, beliau berkongsi foto ketika selesai melakukan larian tersebut.
Dalam foto itu menunjukkan dirinya berlari sejauh 11km hanya dalam tempoh 1 jam 8 minit.
Menerusi tinjaun Astro Gempak, kebanyakkan pengikut laman sosial itu mengucapkan selamat kembali bertugas buat menteri kewangan yang memang terkenal dengan gaya hidup sihat.
Malah ada juga yang memuji kecergasan Tengku Zafrul yang suka mengamalkan aktiviti sihat.
#Menteri #COVID-19 #Kuarantin #Tengku Zafrul