Pelakon popular, Mira Filzah telah menampar aktor Zul Ariffin sebanyak enam kali dalam sebuah babak lakonan terbaru mereka menerusi filem Sangkar.

Menurut Mira, dia harus berbuat demikian kerana ia merupakan kehendak skrip dan jalan cerita dalam filem terbabit.

"Saya tampar Zul sebanyak enam kali dalam sebuah babak filem ini, saya harus lakukan untuk mengikut kehendak skrip dan penceritaan.

"Saya memang tampar betul-betul, bukan main-main, tapi saya rasa setakat tamparan saya, Zul tak rasa apa-apa,"
selorohnya kepada Gempak.

Mira berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran filem Sangkar di Petaling Jaya pada Selasa.

Dalam pada itu, Mira menambah, dia berasa seronok bekerjasama dengan Zul, Remy Ishak dan pengarah Khabir Bhatia sepanjang pembikinan filem terbabit.

"Saya rasa seronok bekerjasama dengan Zul, Remy dan Khabir Bhatia sepanjang penggambaran filem ini.

"Khabir Bhatia merupakan seorang pengarah yang sangat teliti manakala Zul dan Remy sememangnya profesional dan mudah untuk berlakon bersama,"
tambahnya.

Sangkar telah melakar sejarah dalam industri perfileman tanah air kerana diterbitkan oleh empat syarikat perfileman tempatan iaitu Infinitus Gold, Primeworks Studios, Astro Shaw dan MM2 Entertainment.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem yang menampilkan aksi sukan seni bela diri (MMA) ini, ia bakal menjengah pawagam di seluruh negara serta Singapura dan Brunei bermula 29 Ogos ini.