Gaya Hidup
Tampil Berhijab, Wanita Gusti Pertama Malaysia Ini Curi Tumpuan
Biarpun bertudung, itu bukan halangan untuk gadis ini mengejar cita-citanya untuk bergelar.... seorang ahli gusti!
Tular di media sosial apabila seorang gadis yang dikenali sebagai Nor ‘Phoenix’ Diana, 19, mencuri tumpuan netizen kerana bergelar ahli gusti meskipun mengenakan tudung.
Menceburi bidang lasak sejak berusia 14 tahun lagi, minat Diana terhadap sukan gusti bercambah apabila dia gemar bermain permainan video gusti bersama adiknya.
“Ketika berusia 15 tahun, saya mula mencari persatuan gusti Malaysia dalam talian dan saya terjumpa MYPW yang sebelum ini dikenali dengan nama Persatuan Gusti Malaysia.
“Saya memutuskan untuk menyertai dan berlatih bersama mereka bagi merealisasikan impian saya sebagai penggusti profesional,” ujarnya ketika ditemubual The Sun Daily.
Memilih nama Phoenix sebagai nama pentas, panggilan itu tercetus apabila pergi ke kedai pakaian terpakai dan membeli seluar serta topi kulit untuk dipadankan bersama baju.
“Ketika itulah jurulatih memberi arahan untuk membawa watak seolah-olah Phoenix. Pada masa yang sama jurulatih memberi saya topeng luchador untuk dikenakan,” ujarnya lagi.
Berkongsi satu foto meraikan kemenangannya di Instagram, Diana kini berjaya merangkul gelaran Wrestlecon Champion setelah tiga tahun berhempas-pulas.
“Saya ingin berterima kasih kepada semua yang menyokong saya dan MyPW.
“Apa langkah seterusnya? Ini baru sahaja permulaan. Tidak ada orang yang belum tahu apakah kemampuan sebenar Nor ‘Phoenix’ Diana. Inilah juara baru, permulaan kepada satu era baru,” tulisnya menerusi ruangan kapsyen di Instagram.
Terdahulu, Diana bergusti sambil memakai topeng untuk menyembunyikan wajahnya sebelum mendedahkan identitinya kepada umum pada tahun 2018.