Nama Andi Bernadee, 30, sudah tidak asing lagi dalam kalangan peminat industri seni Malaysia. Meskipun kerjaya seninya baru berusia tiga tahun, pemilik nama Andi Azrul Andi Mapangile berjaya menempatkan dirinya sebagai antara penyanyi lelaki yang cukup popular pada masa kini.

Kini, Andi bakal memeriahkan lagi industri muzik Malaysia dengan single terbaharunya berjudul Kais Pagi Kais Petang. Kais Pagi Kais Petang merupakan ciptaan bersama MFMF, Andi Bernadee dan Nasir Deraman.

Lagu ini cuba menyelami keluh kesah rakyat marhaen dalam cabaran mencari rezeki. Mengambil inspirasi dari peribahasa Melayu 'Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' yang membawa maksud orang susah yang perlu bekerja setiap hari, kalau tidak bekerja tiadalah pendapatan.

Isu yang cuba diangkat dalam lagu ini seakan tepat pada masanya apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kembali berkuatkuasa pada 13 Januari lalu yang sedikit sebanyak mengakibatkan pendapatan golongan peniaga kecil, pekerja rencam, pekerja seni dan ramai lagi terjejas.

"Sebelum pandemik melanda negara lagi, memang sukar mencari rezeki pada masa kini. Isu yang mungkin kita, keluarga atau kawan-kawan kita pernah atau sedang hadapi.

"Kerja kuat hari-hari, buat bermacam-macam jenis kerja tapi pendapatan hanya cukup-cukup makan sahaja. Bila hidup dari gaji ke gaji, kita sentiasa menghadapi kesukaran memenuhi keperluan atau kehabisan wang sebelum akhir bulan.

"Lagi-lagi pula di zaman ekonomi meleset akibat pandemik COVID-19, dan ditambah pula dengan pelaksanaan PKP 2.0 pastinya ada antara kita yang berasa tertekan dengan masalah kewangan yang mereka hadapi ketika ini," katanya.



Dalam pada itu, pelantun lagu Donde berharap agar single Kais Pagi Kais Petang dapat menyuntik semangat dalam diri kalangan yang terjejas.

"Saya amat memahami kesukaran semua pihak terutamanya rakan-rakan dalam industri kreatif yang kehilangan sumber pendapatan pada waktu ini.

"Menerusi lagu ini saya berharap selain dapat menghiburkan ianya juga boleh memberi suntikan semangat buat mereka yang terjejas dalam menghadapi saat sukar ini," katanya lagi.

Single Kais Pagi Kais Petang terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 29 Januari. Lirik video rasmi pula boleh ditonton di saluran Youtube Warner Music Malaysia bermula 29 Januari, jam 6 petang.