Penyanyi dan anggota kumpulan K-Clique, Tuju tampil dengan single solo terbaru berjudul, Jiwa Pusing.

Menurut Tuju, dia menulis lagu tersebut pada tahun 2019 dan gembira kerana akhirnya dikurniakan rezeki untuk melancarkannya tahun ini.

"Saya tulis lagu ini tahun 2019, agak mengambil masa sebab bab rezeki ini, kita tak tahu, kiranya ini baru ada rezeki.

"Sejujurnya, waktu tulis lagu itu saya rasa tak ada masa depan, pelbagai perkara yang saya fikirkan ketika itu, saya tertanya-tanya dapatkah saya bantu ibu bapa saya dan macam-macam lagi," katanya.

Tuju berkata demikian dalam sidang media virtual anjuran Warner Music Malaysia sempena melancarkan single tersebut, semalam.

Tuju menambah, dia hanya mahu memberikan muzik yang terbaik dalam gerakan solonya itu.

"Apabila bergerak solo dalam lagu ini, saya tak harapkan apa-apa sangat, saya hanya mahu beri muzik yang bagus.

"Kalau keluarga, peminat dan rakan-rakan gembira dengan muzik saya, ia sudah cukup," katanya lagi.

Single Jiwa Pusing telah dilancarkan secara rasmi pada 19 Februari lalu dan muzik video rasminya pula akan menemui anda tidak lama lagi!