Pelakon Dini Schatzmann, 27, tampil mempertahankan teman wanitanya, Janna Nick, 26, selepas menerima kecaman hebat daripada peminat K-Pop gara-gara dakwaan mempersenda selebriti Korea.

Sebagai individu yang rapat, Dini mendedahkan Janna seorang insan yang memiliki hati baik malah sentiasa positif dalam apa saja situasi.

Katanya, pemilik nama Nurul Jannah Muner juga akan mengorbankan diri demi membantu orang lain.

"Orang selalu mempunyai andaian dan pendapat mereka sendiri tentang awak. Tetapi ia terlindung melalui mata mereka sendiri dan hanya melihat apa yang mereka nampak tentang awak.

"Penghujungnya hanya awak yang tahu niat dan isi hati awak. Orang yang rapat dengan awak tahu siapa awak.

"Saya tahu awak mempunyai kebaikan dalam hati yang jarang ditemui. Awak positif dalam semua perkara, mengorbankan diri untuk menolong orang lain di sekeliling dan niat awak baik," tulisnya menerusi ruangan komen.

Dalam pada itu, pelakon drama Marry Me Senorita berharap agar Pelakon TV Wanita Popular ABPBH30 tidak berubah kerana dia sentiasa menyayangi wanita tersebut.

"Allah yang benar-benar mengetahui apa yang ada di dalam hati awak. Jadi jangan pernah berubah.

"Saya sangat sayangkan awak. Sentiasa," tulisnya lagi.

Terdahulu, nama Janna telah menjadi bualan ramai sehinggakan trending #jannanickisgoingtojailparty di Twitter.

Janna didakwa mempersenda anggota kumpulan K-Pop BLACKPINK iaitu Lisa Manoban dengan menulis Lisa BLACKPIG di Instagram.

Susulan itu, Janna membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap individu yang melemparkan fitnah sehinggakan menimbulkan provokasi.

Difahamkan, hari ini akan berlangsung satu sidang media khas yang disiarkan secara langsung di Facebook dan Youtube pada jam 2.30 petang.