Pelakon dan pengacara MeleTOP Neelofa mencuri tumpuan dengan mengenakan stail hijab penuh ketika menghadiri minggu fesyen Milan.

Tampil dalam persalinan sut serba putih, gaya tudung yang digayakan ketika pertunjukan fesyen jenama terkemuka MaxMara itu mendapat respon positif dalam kalangan peminat fesyen serta pengikutnya di laman sosial.



“Sekitar setahun lalu, saya tampil dengan imej turban setiap kali berjumpa individu fesyen penting di luar negara kerana mahu memperkenalkan kepada mereka yang wanita berhijab juga mampu melaram dan kelihatan bergaya.

“Saya tahu jika saya mengenakan tudung dengan gaya normal, saya sukar diterima di sana. Disebabkan hal itu, saya selalu tampil dengan stail kreatif ketika berada di luar negara,” kata Neelofa melalui satu kenyataan kepada Gempak.

Bukan sahaja dapat duduk di barisan hadapan seangkatan dengan orang penting fesyen dunia, malah usahawan berusia 30 ini juga bangga dapat membawa gaya hijab penuh ke ruang fesyen antarabangsa.



“Ketika menghadiri pertunjukan fesyen MaxMara sebagai satu-satunya tetamu yang mengenakan hijab penuh dan diminta bergambar oleh beberapa jurugambar, saya berasa hajat saya untuk membawa stail hijab penuh ke luar negara telah terlaksana,” ujar Neelofa lagi.

Selain MaxMara, wajah Neelofa turut menjadi penyeri pertunjukan fesyen sebuah lagi jenama mewah terkenal dunia, Prada.