Dunia sukan bola sepak negara hari ini menerima khabar kurang baik apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe telah membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya.

Berita peletakan jawatan Cheng Hoe dikongsikan FAM menerusi kenyataan rasmi sebentar tadi.

Menurut kenyataan tersebut, keputusan melepaskan jawatan itu diambil berikutan kegagalan skuad kendaliannya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, baru-baru ini.

“Selepas berbincang secara terbuka dari semua sudut, pihak pengurusan FAM akhirnya menghormati keputusan tersebut dan telah bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak,” tulis kenyataan tersebut yang diwakili Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Sehubungan itu, FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang secara keseluruhannya telah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM sejak bergelar penolong jurulatih skuad B-20 kebangsaan pada 2005 hingga 2013 sebagai penolong jurulatih kebangsaan dan kembali semula pada 2017 sebagai penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada.

Antara kejayaan yang diraih beliau ialah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu kepada Datuk K. Rajagobal serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih.

“Jasa dan sumbangan beliau akan sentiasa dikenang. Terima kasih. Selamat maju jaya juga kepada Cheng Hoe dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini,” tulis kenyataan tersebut lagi.

Sementara itu berita mengejutkan itu menerima beragam respon dalam kalangan peminat bola sepak tanah air. Biar ada yang mengkritik dan 'bersetuju' melihat peletakan jawatan tersebut, ramai juga yang mengakhiri salam perpisahan dengan sosok yang sentiasa kemas dan tenang ini menerusi ucapan: "Jasamu Dikenang!"

Kredit Foto: Goal.com