Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Tanah Runtuh: Polis Minta Penghuni 20 Unit Rumah Di Taman Melawati Berpindah

Gempak
15/10/2024 07:25 MYT
Kejadian tanah runtuh di lereng bukit di Taman Melawati, telah menyebabkan beberapa kawasan kediaman di Jalan E6, terjejas.

Susulan itu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, mengarahkan penghuni di kediaman terdedah risiko tanah runtuh untuk berpindah sementara.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata pada masa ini pihaknya sudah mengeluarkan arahan untuk 20 unit kediaman rumah teres di Jalan E6 untuk berpindah.

"Pada masa ini kita hanya dapat menyampaikan arahan ini hanya kepada sebahagian penduduk kerana sebahagian besar lagi penghuni sudah keluar bekerja.


"Kita (polis) bagaimanapun menempatkan pegawai dan anggota kita untuk memaklumkan arahan tersebut supaya dapat mengosongkan kediaman mereka untuk sementara waktu bagi tujuan keselamatan," katanya kepada BH.

Mohd Azam berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tanah runtuh pada jam 10.30 pagi tadi di persimpangan Jalan Serdang dan Jalan E6, Taman Melawati.

"Kejadian berkenaan menyebabkan 20 rumah teres terputus laluan utama dan setakat ini sebuah kereta yang diparkir dalam rumah rosak akibat runtuhan tanah.

"Selain itu kerosakan turut menimpa sebuah kabin pondok pengawal namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku," katanya.

Semua penduduk diarahkan berpindah ke Dewan Serbaguna, Jalan E6 dan pada masa ini polis bersama pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, berada di lokasi kejadian untuk mengawasi keadaan.

Sumber: Berita Harian

#Rumah #Taman #Pindah #Tanah #Runtuh #Penghuni #Melawati
;