Sempena meraikan 40 tahun pembabitan dalam industri muzik tanah air, penyanyi Anuar Zain, 53, bakal mengadakan konsert ‘Anuar Zain 40th Anniversary Concert’ yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 Oktober.

Bakal menghibur peminat dengan untaian lebih 20 lagu, Anuar berkata, konsert itu merupakan tanda terima kasih kepada peminat atas sokongan yang tidak pernah luntur sepanjang empat dekad.

“Sudah tentu saya menyasarkan kehadiran penuh pada konsert kali ini dan tujuan utamanya adalah untuk menghibur peminat dengan kesemua lagu yang akan dipersembahkan nanti.

“Bagaimanapun, buat masa ini, saya masih belum memikirkan mengenai penyanyi jemputan kerana masih ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan dari segi persiapan konsert.

“Boleh dikatakan, konsert kali ini hanya ‘straight forward’ sahaja kerana saya tidak ada sebarang gimik atau elemen kejutan yang ingin ditampilkan,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan lokasi, Anuar berkata, Stadium Malawati menyimpan pelbagai nostalgia manis buat dirinya, malah mempunyai kelengkapan sesuai untuk penganjuran konsert.

“Saya sudah pernah buat konsert di beberapa venue di Kuala Lumpur, terapi Stadium Malawati memberi saya nostalgia yang sangat manis.

“Bagi saya, lokasi itu sangat praktikal kerana ia berbentuk empat segi dan sangat senang bekerja di sana. Malah, pencahayaan dan sistem bunyian yang dimiliki sangat baik

“Antara sebab lain saya memilih lokasi itu kerana Shah Alam adalah tempat saya tinggal dan membesar,” katanya.

Pada masa sama, penyanyi kelahiran Merlimau, Melaka ini turut menjelaskan, beberapa visual yang memaparkan perjalanannya sepanjang 40 tahun sebagai anak seni.

“Serba sedikit visual mengenai perjalanan saya sepanjang 40 tahuh itu ada, tapi konsert kali ini lebih kepada menghibur peminat yang hadir, cuma penceritaan itu tetap ada.

“Sebelum ini saya pernah tampil dengan konsep sedemikian, jadi kali ini mungkin akan ada perubahan sedikit,” katanya.

Tiket Anuar Zain 40th Anniversary Concert yang dibawakan JioBuddy itu mula dijual pada 12 Julai mulai pukul 10 pagi di pautan www.jiotix.asia dengan harga RM 188 (Gold), RM388 (Platinum), RM488 (Diamond), RM888 (VIP 2) dan RM1188 (VIP 1).

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya & Kawan-Kawan Ada Perancangan Nak…” - Anuar Zain Kongsi ‘Plan’ Aktiviti Di Bulan Ramadan