BERITA
Tangan Dipotong, Ibu Dalam Pantang Maut Dibunuh Suami
Seorang wanita yang sedang berpantang selepas melahirkan anak 10 hari lalu ditemui maut dalam keadaan mengerikan, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan kejam oleh suaminya sendiri.
Jasad mangsa, YU, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kedua-dua tangannya dipotong di sebuah kediaman di Dusun Nangasia, Desa Marada, Kecamatan Hu'u, Kabupaten Dompu, Indonesia pada Sabtu.
Suspek dikenali sebagai SYA, 28, berjaya ditahan di rumah keluarganya beberapa jam selepas melarikan diri dan tergamak meninggalkan bayi mereka di sisi mayat isterinya.
Pada awalnya, keluarga SYA membantah tindakan pihak berkuasa yang cuba memberkasnya di Dusun Wera, Desa Lepadi, Kecamatan Pajo.
“Kami turut merampas barang bukti iaitu sebilah parang sepanjang 60 sentimeter yang dipercayai menjadi senjata pembunuhan. Suspek kini ditahan di Mapolres Dompu untuk siasatan lanjut,” kata jurucakap polis, AKP Zuharis.
Sementara itu, salah seorang jiran mereka, Mahani, menyatakan bahawa jasad YU yang sedang dalam tempoh berpantang dijumpai dalam keadaan menyayat hati.
“Sehari sebelumnya, iaitu pada Hari Raya Aidiladha, pasangan itu ada mengadakan kenduri doa selamat sempena potong jambul bagi meraikan kelahiran anak mereka. Hari ini, YU maut di tangan suaminya,” katanya dalam nada sedih.
Sumber: Sinar Harian