Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui inisiatif UiTM Prihatin, memberi insentif RM100 kepada setiap pelajar yang telah datang untuk mendaftar tetapi terpaksa berpatah balik ke kampung susulan penangguhan pendaftaran yang dilaksanakan.

Naib Canselor, Prof Emeritus Datuk Dr Ir. Mohd Azraai Kassim berkata, bantuan ini juga akan membabitkan pelajar yang telah mendaftar dan terus tinggal di kolej-kolej kediaman dan di luar kolej kediaman UiTM Shah Alam dan Kampus-kampus Cawangan ketika ini.

Di samping itu, pengurusan tertinggi universiti juga telah bersetuju untuk memberi pengecualian bayaran kolej untuk bulan Oktober 2020 kepada semua pelajar yang tinggal di kolej kediaman UiTM Shah Alam dan Kampus Cawangan.

“Sejumlah 3,252 pelajar telah datang mendaftar secara fizikal bermula dari 1 Oktober hingga 3 Oktober lalu.

“Bagaimanapun, hanya 940 pelajar memilih untuk terus kekal di kolej-kolej kediaman UiTM seluruh negara manakala, selebihnya memilih untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Sehubungan itu pelajar yang kekal di kolej-kolej kediaman akan terus dipantau dan dibantu mengikut keperluan masing-masing,” katanya menerusi sebuah kenyataan kepada Gempak.

Tambah beliau lagi, inisiatif dan insentif yang dilakukan tersebut selari dengan saranan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad, supaya Institut Pengajian Tinggi (IPT) memahami kesulitan dan kekangan dihadapi para pelajar yang terlibat.

“Keutamaan kita kini adalah para pelajar kekal selamat, kekal sihat dan kekal tabah dengan pandemik Covid-19.

“UiTM juga memberi jaminan bahawa kebajikan dan keselamatan para pelajar akan sentiasa dipantau dan diberikan keutamaan.

"Lebih penting, dengan inisiatif dan insentif ini para pelajar kita akan kekal tenang, tabah dan meneruskan pengajian mereka dalam suasana kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa terpelihara,” katanya.

Terdahulu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mencadangkan semua IPT menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka bagi pelajar baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini.

KPT memaklumkan, keputusan itu perlu dibuat demi kesejahteraan dan keselamatan semua pihak, susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.