Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Tangkapan Khalwat Jawi Bukan Gimik Atau Promosi Selebriti

Gempak
11/03/2024 11:43 MYT
Tangkapan dan serbuan khalwat yang dilakukan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bukan gimik atau sesuatu tindakan untuk mempromosikan mana-mana pihak termasuk selebriti sebaliknya ia dilakukan mengikut prosedur undang-undang yang sudah ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menegaskan perbuatan maksiat tetapi maksiat dan ia sama sekali tidak boleh dipromosikan selain berkhalwat juga adalah kesalahan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Menurutnya, bahagian penguatkuasaan Jawi akan melakukan tindakan secara bebas dan adil berdasarkan aduan diterima selepas melakukan siasatan dan mendapati ia berlaku seperti dilaporkan serta akan melakukan tangkapan.

"Kalau ada sebarang laporan yang dikemukakan oleh pihak pengadu (atau) pihak ketiga, jadi bahagian ini tidak ada kontak dengan selebriti atau mana-mana pihak (minta) pergi tangkap aku (artis terbabit).

"Aduan itu dibuat oleh pihak ketiga yang tidak ada kena mengena (dengan pihak Jawi).

"Jadi berdasarkan aduan berkenaan pihak bahagian penguatkuasaan Jawi akan memulakan siasatan dan sekiranya mendapati ada kelakuan itu (maksiat) maka (pihak Jawi) akan buat tangkapan.

"Jadi saya mahu tekankan di sini tidak ada sebab Jawi akan kompromi perkara ini dan mahu melakukan sesuatu tangkapan bagi satu-satu kesalahan semata-mata mahu mempromosikan selebriti atau apa (saja).

"Tidak, itu tidak langsung (berlaku) termasuk dalam usaha yang dibuat oleh pihak Jawi," katanya.

Beliau berkata, perkara itu yang ditekankan olehnya bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail dan ia tidak timbul isu tindakan yang dilakukan itu adalah satu gimik.

Terdahulu industri hiburan negara digemparkan dengan penahanan pasangan pelakon di sebuah kondominium mewah di ibu negara.

Bagaimanapun, ada segelintir pendapat netizen di media sosial seolah-olah mempersoalkan jika ia adalah gimik untuk pelakon berkenaan kerana kedua-dua individu itu dilaporkan sedang menjalani penggambaran bersama.

Sumber: HARIAN METRO

#Khalwat #Jawi #Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
;