Hiburan
Tanpa Amyra Rosli, Amar Baharin Tetap Diterima Peminat Tersuka Tanpa Sengaja
Pelakon Amar Baharin berjaya membuktikan gandingannya menerusi drama bersiri Tersuka Tanpa Sengaja bersama Emma Maembong mendapat tempat di hati peminat.
Perkara tersebut terbukti apabila drama ini sering menjadi sebutan di laman sosial setiap kali ditayangkan sehingga trending dan ramai pula yang memuji dia dan Emma kelihatan serasi.
Jika sebelum ini Amar sering digandingkan dengan Amira Rosly dalam beberapa buah drama bersiri terbitan Astro seperti Suamiku Encik Sotong dan Cik Bunga Encik Sombong, sehingga ramai peminat yang berkata pasangan ini tidak akan menjadi jika diberi pasangan lain.
“Drama Tersuka Tanpa Sengaja membuktikan saya dan Emma Maembong juga serasi berlakon bersama. Walaupun pertama kali bergandingan, lakonan kami diterima peminat.
“Saya selesa berlakon dengan Emma kerana dia seorang yang senang untuk bekerjasama. Jadi tiada masalah untuk menjadi pasangannya di dalam Tersuka Tanpa Sengaja.
“Sementara Amyra pula, ramai yang tidak suka dan marah dengan watak Katrina yang mahu merosakkan rumah tangga Dr. Syed dan Fatihah,” katanya.
Drama terbitan produksi Suhan Movies & Trading Sdn Bhd ini telah mula bersiaran pada 7 Disember lalu dan telah mencatat lebih satu juta penonton serta menjadi trending setiap kali siarannya.
Drama romantik komedi 16 episod ini mendapat sentuhan pengarah berkaliber Keoi Haji Khalid dan disiarkan setiap Isnin hingga Khamis.
Jangan lupa saksikan Emma Maembong (Farhah), Amyra Rosli (Katrina), Amar Baharin (Dr. Syed Arif) dan Hafreez Adam (Dr. Armand) pada setiap Isnin hingga Khamis bermula jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104) da Ria HD (saluran 123) untuk melihat sendiri kesudahan kisah mereka.