Program kesayangan ramai Sepahtu Reunion Live sudah kembali menggeletek hati penonton dengan jenaka jenaka mereka untuk musim kelima.

Bezanya, setelah empat musim, Sepahtu Reunion Live yang disiarkan secara langsung di saluran Astro Warna tidak lagi menyaksikan kelibat salah seorang pendiri Sepahtu iaitu Shuib.

Shuib mengambil keputusan mengundurkan diri kerana ingin memberi fokus terhadap dunia bisnes yang diceburi, meninggalkan sahabat pendiri asal Sepahtu, Jep meneruskan musim ini bersama Rahim dan Pak Ya.

Ketiadaan Shuib biar dirasai kata Jep tetap tidak mematahkan perjuangan mereka. Malah kekosongan yang ditinggalkan suami Allahyarham Siti Sarah itu sebenarnya turut membuka peluang rezeki kepada orang lain dan satu hikmah buat mereka.

"Nak cari pengganti (Shuib) memang susah, tapi kita cari orang yang dapat memudahkan urusan kita. Jadi kita cari pengganti yang boleh menepati piawaian sama macam Shuib.

"Kami juga dapat membuat rezeki kepada pelawak lain. Jadi ini adalah satu cabaran namun ada hikmahnya," akui Jep sewaktu menjadi tetamu dalam pogram AWANI Pagi segmen Selebriti Selasa yang disiarkan semalam.

Meski demikian, selepas beberapa episod berlangsung tanpa Shuib, Sepahtu Reunion Live musim kelima tetap menyengat.

Apa lagi, saban minggu jalan cerita dan jenaka yang dihidangkan tidak pernah menghampakan.
Ini termasuklah apabila para tetamu jemputan yang ikut serta dalam Sepahtu Reunion Live memberi persembahan yang 'sama naik'.

Antara tetamu jemputan yang membuat penonton terhibur adalah kehadiran usahawan Datuk Seri Vida dalam salah satu episod Sepahtu Reunion Live yang membawa 'tugasan' sebagai peguam. Namun dialek Kelantan yang dituturkan DSV membuat Jep serta Rahim tidak memahami percakapannya.

Bercakap mengenai kehadiran tetamu jemputan, Rahim mengatakan semua cadangan akan dibincang bersama pihak produksi.

"Ada beberapa kriteria yang perlu kita ambil kira, antaranya mengikut jalan cerita, umur, watak, itu memberikan gambaran siapa dan bagaimana artis jemputan untuk minggu itu.

Kini semakin segar dengan pelbagai isu dan jenaka tanpa henti, kata Jep apa yang berlaku sepanjang program yang telah memenangi banyak anugerah itu tetap perlu diperjuangkan.

Jangan lupa saksikan Sepahtu Reunion Live musim ke-5 setiap Khamis jam 9 malam secara siaran serentak di Astro Warna, Astro Prima atau strim On Demand menerusi aplikasi percuma Astro GO!.

Kredit Foto: Awani