Berita
Taska Pengasuh Lempang Kanak-Kanak Dibenar Beroperasi
Taska yang pengasuhnya tular di media sosial melempang kanak-kanak semalam dibenarkan beroperasi seperti biasa.
Bagaimana pun polis masih menjalankan siasatan ke atas Pusat Perkembangan Kanak-kanak (PPKK) dan berdaftar di bawah Jabatan Pendidikan yang beroperasi di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka itu.
Exco Wanita Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Melaka, Ginnie Lim Siew Lin berkata bagaimanapun dua guru yang dipercayai terlibat mengasari kanak-kanak di pusat berkenaan sudah dibuang kerja selepas laporan dibuat pengusaha Sabtu lalu.
"Semakan dibuat dan mendapati tadika yang mempunyai 23 kanak-kanak dan empat pekerja ini beroperasi secara sah serta berdaftar dengan Jabatan Pelajaran negeri.
"Insiden ini tidak wajarnya berlaku dan saya menggesa setiap tenaga pengajar yang dilantik berkelayakan termasuk memiliki sijil pendidikan awal kanak-kanak bagi menggelakkan insiden mengasari dan penderaan berlaku pada kanak-kanak," katanya selepas melawat tadika berkenaan
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Burhanuddin Bachik.
Menurutnya, pengusaha pusat jagaan juga perlu membuat pemerhatian dan melakukan pemantauan supaya dapat mengesan tanda awal pekerja yang cenderung mengasari kanak-kanak.
Sumber: Sinar Harian