Seorang 'Instafamous' dikenali sebagai 'Papaicici' dihukum denda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini, selepas mengaku bersalah menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis.

Majistret Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas Papaicici atau nama sebenarnya Rayndi Jubidi, 29, yang dituduh menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis dengan bayaran RM150 untuk sekali perkhidmatan.
Lelaki itu yang hadir di mahkamah dengan memakai kemeja-T putih dan seluar jean biru ketat serta menyanggul rambutnya, didakwa melakukan perbuatan terbabit di sebuah kondominium di Bukit Bintang, pada jam 6.50 petang 27 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman berbentuk denda minimum.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri, meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Tertuduh membayar denda berkenaan.


Sumber: BERNAMA