Syarikat integrasi sistem blockchain permainan dalam talian (e-sport), ESPN Global Malaysia menawarkan hadiah bernilai RM1 juta demi mencari pasukan terbaik dalam permainan popular Mobile Legends, Call Of Duty Mobile dan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG).

Kata Ketua Pegawai Eksekutif ESPN Global Asia Tenggara, Datuk Dr. Erwin, dana itu diperuntukkan demi membangunkan e-sport yang semakin mendapat tempat di hati pengguna alam maya masa kini.

"Di Malaysia terdapat 2.3 juta pengguna yang bermain PUBG dan 3 juta pengguna Mobile Legend. Jumlah ini adalah prospek yang membanggakan.

"Jadi, bagi menyemarakkan lagi semangat mereka, ESPN Global Malaysia akan menawarkan hadiah bernilai RM1 juta untuk 20 buah trofi e-sport di Malaysia.

"Dalam perancangan kita akan mengadakan pertandingan e-sport secara mingguan di pejabat urusan kami dan menawarkan RM20,000 sebagai hadiah mingguan," katanya kepada Gempak.

Datuk Dr. Erwin ditemui pada majlis pelancaran pejabat urusan ESPN Global Malaysia di Ara Damansara baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Tuan Halimey Abu Bakar.



Selain itu, antara pelan pembangunan sukan tempatan ialah penganjuran kejohanan futsal dalam skala besar dengan hadiah yang ditawarkan bernilai RM100,000.

"Ia dijangka akan dijalankan pada akhir tahun ini untuk meningkatkan kesedaran sukan dan mengangkat kejohanan ini ke peringkat lebih tinggi," ujarnya.

Sementara itu, tambah Ketua Pegawai Eksekutif ESPN Global Malaysia, Rasyieda Abdul Ghani, syarikat yang berpangkalan di Poland itu menawarkan beberapa permainan popular dalam satu aplikasi.

"Ia juga memberi peluang kepada orang ramai untuk mengubah taraf hidup serta menggandakan pendapatan mereka dengan permainan secara atas talian dengan hanya menjadi ahli berstatus 'Affiliate Refferal' yang boleh menjana pendapatan pasif sehingga RM10,000 sehari," tambahnya.

ESPN Global Malaysia juga melancarkan Penawaran Pertukaran Awal (IEO) Smart Gaming Token (SGT) sendiri yang akan dilakukan di dalam komuniti e-sukan yang mempunyai lebih dari 50 ribu ahli sehingga kini.

Maklumat lanjut layari https://www.espnglobal.com.