Tayang Badan Dalam Filem, Yusuf Bahrin Dah Bincang Dengan Isteri - “Ada Syarat Sebelum Jayakan Babak Itu”
Mya Amri
21/12/2023 00:05 MYT
21/12/2023 00:05 MYT
Pelakon, Yusuf Bahrin mengambil langkah berani apabila tampil tidak berbaju demi memenuhi tuntutan filem The Lord Musang King.
Bagaimanapun kata Yusuf, dia telah pun berbincang dengan isterinya, Zizi Kirana mengenai adegan itu dan mendapat persetujuan selain meletakkan syarat tertentu sebelum melakukan babak tersebut.
“Saya ambil langkah berani sebenarnya, tapi saya beritahu syarat asalkan jangan bawah pusat. Alhamdulillah bila ditayangkan tak nampak bawah pusat dan juga lutut.
“Saya ada beritahu pada Zizi bahawa dalam skrip ada babak saya mandi dalam bilik air di penjara. Dia cakap okey saja dan pesan untuk menjaga aurat, saya cakap okey dan janji dengan dia,” ujarnya.
Yusuf berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem The Lord Musang King yang berlangsung baru-baru ini.
Malah kata Yusuf, dia juga berasa bersyukur kerana pengarah filem berkenaan iaitu Lee Moon Hoo juga menghormati syarat yang diberikan.
“Saya juga ada maklumkan perkara ini pada penerbit, penerbit yang juga pelakon dalam filem ini iaitu Eddie Chow. Saya buat permintaan kalau boleh babak yang diambil itu tidak nampak bahagian pusat hingga lutut.
“Dia kata okey sahaja dan maklumkan pada pengarah. Alhamdulillah, pengarah juga bersetuju dan menghormati permintaan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Yusuf berkata dia juga sudah bersedia untuk menerima apa jua pandangan mengenai babak tersebut.
“Saya sudah persiapkan diri saya untuk menerima apa apa kritikan mengenai babak tersebut. Saya tidak cakap apa yang saya buat ini benda betul dan juga salah.
“Tetapi apa yang saya buat itu saya ambil langkah berani dan bertanggungjawab atas diri sendiri. Kalau salah betulkan saya,” ujarnya.
Selain Yusuf, filem arahan pengarah terkenal Korea Selatan, Lee Moon Ho ini juga turut dibintangi oleh Harissa Adlynn, Fimie Don, Azri Sabri, Hafizuddin Fadzil dan Jay Iswazir, manakala pelakon dari Korea Selatan pula adalah Kim Bo Yeon dan Kwak Dong Hyuk.
Filem The Lord Musang King ini menggunakan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Korea itu adalah kolaborasi pertama Malaysia dan Korea Selatan.