HIBURAN

Tazkirah Malam Jumaat Musim Ke-9 Perkenal Bahasa Isyarat, Lebih Mesra OKU

Khairil Khusyairi 06/03/2025 | 15:20 MYT
Program Tazkirah Malam Jumaat yang memasuki musim ke-9 membawa kelainan dengan memperkenalkan penggunaan Bahasa Isyarat dalam setiap episod sepanjang bulan Ramadan ini.
Langkah ini diambil bagi memastikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran tidak ketinggalan dalam menimba ilmu dan memahami isi kandungan tazkirah yang disampaikan.

Membuka Ruang Kepada Semua

Dengan adanya jurubahasa isyarat dalam rancangan ini, golongan OKU Pendengaran kini berpeluang mengikuti tazkirah dengan lebih mudah dan berkesan. Ini bukan sahaja memberi akses kepada mereka, malah turut membuka ruang untuk berasa lebih dekat dengan majlis ilmu, seperti mana orang lain yang boleh mendengar.

Merapatkan Ukhuwah, Meningkatkan Kesedaran

Langkah ini juga selaras dengan semangat Rahmatan Lil ‘Alamin, yang menekankan konsep Islam sebagai rahmat untuk semua tanpa meminggirkan mana-mana golongan.

Kehadiran bahasa isyarat dalam Tazkirah Malam Jumaat membuktikan bahawa masyarakat Islam semakin cakna dan prihatin terhadap keperluan setiap lapisan komuniti.

Menjadikan Majlis Ilmu Lebih Mesra

Inisiatif ini pastinya menjadi satu langkah ke hadapan dalam menjadikan program keagamaan lebih inklusif.

Dengan adanya akses yang lebih baik untuk semua, lebih ramai dapat bermanfaat daripada ilmu yang disampaikan dan merapatkan ukhuwah Islamiah tanpa batasan komunikasi.

Lantik Jurubahasa Profesional

Menurut jurubahasa isyarat, Azlina Mohamed Isa, 59, dia mempunyai latar belakang yang cemerlang dan pengalaman yang luas selain bergelar seorang OKU.
“Untuk makluman, saya merupakan OKU Pendengaran pertama di Malaysia yang bekerja sebagai jurubahasa isyarat di sebuah stesen TV media elektronik.
“Saya juga seorang OKU Pekak yang memiliki Ijazah Sarjana dalam Pendidikan (Bimbingan & Kaunseling).
“Selain itu, saya merupakan OKU Pekak pertama di Malaysia yang memperoleh lesen profesional sebagai Kaunselor Berdaftar dengan Perakuan Amalan di Lembaga Kaunseling Malaysia,” katanya.
Jangan lupa untuk saksikan Tazkirah Malam Jumaat Musim ke-9, setiap Khamis, jam 9 malam – kerana ilmu itu milik semua!
#Astro #Ramadan #OKU #Malam #Jumaat #Tazkirah #isyarat #Jurubahasa