Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
GAYA HIDUP

Teach For Malaysia: Melahirkan Pemimpin Pendidikan Demi Masa Depan Anak Bangsa

Asyraf Roslan 06/05/2025 | 13:55 MYT

Teach For Malaysia (TFM) ialah sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang komited memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tinggi, tanpa mengira latar belakang mereka.

Bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, TFM memberi fokus kepada sekolah-sekolah awam berkeperluan tinggi, termasuk di kawasan luar bandar dan komuniti Orang Asal.

Sebagai sebahagian daripada rangkaian global berprestij Teach For All yang merangkumi 63 buah negara, TFM telah diasaskan pada tahun 2010 dengan misi memperkasa pemimpin muda untuk mencetuskan perubahan dalam sistem pendidikan negara.

Diasaskan pada 2010, TFM sentiasa berusaha memperkasa pemimpin muda untuk mencipta perubahan dalam sistem pendidikan negara.

Melalui program andalan mereka iaitu Program TFM, para graduan dan belia professional yang berpotensi tinggi ditempatkan di sekolah-sekolah berkeperluan tinggi termasuk komuniti Orang Asal di Malaysia sebagai guru sepenuh masa untuk membanteras ketidaksamaan pendidikan.

Bagi TFM, latar belakang seseorang pelajar tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kejayaan seseorang pelajar. Oleh itu, TFM hadir dengan misi untuk memperluas akses pendidikan melalui pembangunan dan sokongan terhadap pemimpin pendidikan dalam komuniti yang memerlukan.

Dengan misi tersebut, pada tahun 2020, TFM telah meluaskan usaha mereka dengan menganjurkan pelbagai program menarik seperti Program Duta Guru (PDG) yang melatih, membimbing and meningkatkan keupayaan guru-guru STEM yang sedang berkhidmat di sekolah dan Program KALIS yang menyokong guru pemulihan dengan alat dan sumber yang diperlukan agar pelajar yang lemah asas pembelajaran dapat dibantu secara efektif.

TFM juga melahirkan Gerakan Komuniti untuk melahirkan pemimpin akar umbi yang mampu mencetus perubahan sistemik dalam komuniti masing-masing. Salah satu caranya adalah melalui inisiatif untuk para pelajar melalui Student Leadership Camp (SLC), Program Komuniti Perkasa (PKP), Education Recovery Training Initiative (ERTI).

Setakat tahun 2024, TFM telah berjaya melahirkan seramai 4,000 pemimpin pendidikan terdiri daripada: 529 orang Felo TFM, 1,364 (peserta Program Duta Guru), 105 (guru KALIS) 1,981 (Pemimpin Pelajar) dan 784 (Sukarelawan, Mentor dan Ketua Komuniti).

TFM bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam ekosistem pendidikan untuk membawa perubahan dalam sistem pendidikan negara.

Melalui gabungan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Felo, guru, pemimpin komuniti, sukarelawan dan rakan korporat, Teach For Malaysia berusaha untuk memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tinggi.

Teach For Malaysia bukan sahaja melahirkan pendidik, tetapi membentuk pemimpin masa depan yang akan terus memberi impak kepada sistem pendidikan negara.

Buat anda yang berminat untuk memohon sebagai Felo di Teach For Malaysia,

anda boleh mengikuti syarat-syarat berikut.

● Warganegara Malaysia berumur di bawah 40 tahun

● Memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam apa-apa bidang

● Berkebolehan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris

● Latar belakang akademik yang kukuh

● Komitmen tinggi dalam membantu pelajar mencapai potensi mereka melalui pendidikan

#Pendidikan #Teach For Malaysia #TFM