Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Teater Bahara Emas Terbitan SPRM Tak Sindir Sesiapa - Pengarah

Amri Hassan
11/10/2017 05:48 MYT
Pengarah teater Bahara Emas, Rosminah Tahir menegaskan naskhah yang bakal dipentaskan minggu depan tidak menyindir mana-mana pihak.

Katanya, cerita yang diangkat daripada kisah yang berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah di Melaka itu merupakan cerminan kepada senario semasa yang berlaku dalam masyarakat.

"Teater Bahara Emas bukan tidak berpijak pada bumi nyata, sebab itu naskhah ini dipersembahkan.

"Walaupun ada mengangkat tema anti rasuah dan penyelewengan wang, ia tidak menyindir sesiapa kerana situasi itu terjadi sepanjang masa di mana-mana saja," katanya ketika ditemui pada sidang media teater Bahara Emas di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, jelas Rosminah lagi tujuannya mengangkat karya purbawara kerana ingin memperkenalkan naskhah sedemikian kepada generasi moden.

"Bukan tidak mahu mementaskan karya bersifat moden, sekali sekala perlu selitkan sejarah lampau.

"Menariknya, teater Bahara Emas tidak terlalu terikat dengan penggunaan bahasa dan perkataan klasik yang sukar difahami. Banyak pembaharuan sudah dibuat.

"Cuma ada beberapa istilah lama dikekalkan untuk memperkenalkan kepada generasi muda masa kini," tambahnya.

Bahara Emas akan dipentaskan dipentaskan sempena Sambutan 50 Tahun SPRM dan ia merupakan hasil kerjasama Ctra Production, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Istana Budaya dan Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara).

Teater Bahara Emas berkisar mengenai kisah di era pemerintahan Sultan Mahmud Syah, Sultan Melaka ke-8 dan jalan ceritanyamenampilkan elemen seperti rasuah, hasad dengki dan fitnah yang berlaku pada zaman itu.

Teater ini menampilkan 50 pelakon termasuk Farahdhiya, Izzue Islam, Amar Asyraf dan Datuk Jalaluddin Hassan manakal akan dipentaskan di Auditorium DBP bermula 19 sehingga 22 Oktober ini.

Sehingga kini 95 peratus tiket telah diedarkan secara percuma kepada penonton.



Teks oleh: Amri Hassan
#Teater #Bahara Emas #Rosminah Tahir #SPRM
;