Pementasan teater Kontena 404 Jangan Main Main akan tetap diteruskan biarpun terpalit dengan kontroversi penangkapan pelakon Datuk Boy Iman yang merupakan salah seorang pemegang saham DBI Entertainment Sdn Bhd.

Menurut Pengurus Besar DBI Entertainment Sdn. Bhd., Lyana Zulkepli, selagi tiada arahan rasmi untuk menghentikan atau menunda pementasan teater itu, sesi latihan dan persediaan akan berjalan seperti biasa.

"Umum mengetahui isu DBI Entertainment Sdn. Bhd. sedang ditularkan namun produksi ini tidak mendapat sumber kewangan daripada individu tersebut yang kini sedang ditahan untuk membantu siasatan.

"Tiada masalah untuk meneruskan sesi latihan atau pementasan pada 20 hingga 22 Oktober nanti kerana kami masih mendapat kebenaran daripada Istana Budaya.

"Teater ini akan diteruskan selagi tiada halangan," katanya selaku wakil penerbit teater Kontena 404 Jangan Main Main.

Lyana ditemui siang tadi ketika sidang media teater Kontena 404 Jangan Main Main di Istana Budaya.

Tambahnya teater Kontena 404 Jangan Main Main mendapat dana kewangan berjumlah RM100,000 namun nama penaja utama itu masih dirahsiakan sehingga pementasan terakhir teater itu.

DBI Entertainment Sdn. Bhd. akan menerbitkan teater Kontena 404 Jangan Main Main arahan Raja Azrey Raja Kamaruzzaman di Lambang Sari, Istana Budaya pada 20 hingga 22 Oktober depan.

Terdahulu, Datuk Boy Iman atau nama sebenarnya Datuk Noruliman A. Rahman selaku Pengarah Urusan DBI Properties ditahan pada Isnin lalu untuk membantu siasatan kes penipuan projek pembinaan rumah banglo melibatkan kerugian RM6.2 juta.

Datuk Boy Iman telah dibebaskan semalam namun ditahan reman semula bagi membantu siasatan kes sama.

Teks oleh: Amri Hassan