Siri popular di HBO, The Teenage Psychic kini kembali dengan musim kedua yang bakal menyajikan lapan episod kepada penonton.

The Teenage Psychic mengisahkan tentang Xiao Zhen (watak yang dipegang oleh Kuo Shu-Yao), seorang pelajar sekolah menengah yang mempunyai kebolehan melihat alam ghaib.

Zhen harus menghadapi tekanan kehidupan remajanya yang melibatkan alam realiti dan permintaan dari dunia roh.

Pelbagai cabaran harus dilalui oleh Zhen dan kemudian dia bertemu dengan seorang ahli baru kelab drama di sekolahnya iaitu Zhang Yuxuan (dilakonkan oleh Fandy Fan).

Bercakap mengenai keserasian dua watak tersebut, Fandy menjelaskan mereka banyak mengadakan perbincangan untuk menambah baik kualiti lakonan mereka dalam siri terbabit.

"Saya banyak berbincang bersama Yao dan pengarah untuk menambah baik kualiti lakonan kami, boleh dikatakan kami selalu duduk bersama sepanjang proses penggambaran siri ini," katanya.

Fandy berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran The Teenage Psychic anjuran HBO Asia bertempat di St Regis Hotel, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Dalam pada itu, Yao menambah, musim kedua ini menjanjikan perbezaan kepada penonton kerana ia dihasilkan oleh pihak produksi yang berlainan berbanding sebelum ini.

"Kami merasai pengalaman berbeza dalam penghasilan musim kedua ini kerana ia dihasilkan oleh pihak produksi yang berlainan.

"Kelainan itulah yang menjanjikan keistimewaan kepada penonton Asia,"
ujarnya.

The Teenage Psychic musim kedua ini akan menayangkan dua episod berturut-turut pada Ahad, 6 Oktober jam 9 malam secara eksklusif di HBO GO (saluran 411) dan HBO (saluran 431 HD).

Episod seterusnya akan ditayangkan pada hari Ahad berikutnya pada waktu yang sama.

Bukan itu sahaja, pelanggan Astro juga berpeluang untuk menonton musim pertama The Teenage Psychic di HBO GO atau di On Demand menerusi Astro GO.