BIG STAGE 2020
Tegar Septian, Aisha Retno Antara Peserta Yang Bakal Menggegarkan Big Stage 2022
Program yang menampilkan bakat-bakat generasi Budak-Budak Baru Nak Up (BBNU), Big Stage kembali untuk musim keempat.
Membuka ruang penyertaan kepada pesaing dari dalam dan luar negara untuk penganjuran edisi keempat, Big Stage 2022 bakal menyaksikan persaingan kompetitif di antara 11 bintang utama yang mewakili tiga negara serumpun iaitu Malaysia, Brunei dan Indonesia selama lapan minggu.
Seramai sembilan BBNU dari Malaysia telah terpilih untuk beraksi di pentas ‘Big Stage 2022’ dengan penyertaan dua bintang lain dari Brunei dan Indonesia.
Lima bintang wanita yang bakal berentap untuk musim ini ialah Aisha Retno, Elica Paujin, Lia Aziz, Yazmin Aziz dan Sofiaa Marieylla. Manakala enam bintang lelaki pula adalah terdiri daripada Megat Rahim, Ajoi Zainal, Danial Chuer, Tuah Adzmi, Syafiq Abdilah (Brunei) dan Tegar Septian (Indonesia).
Pengurus Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh berkata, sebagai pemain utama industri kandungan kreatif tanah air, pihak Astro amat gembira melihat kebangkitan semula dunia seni hiburan yang kembali rancak meskipun kemelut pandemik masih lagi belum berkesudahan sehingga ke hari ini.
“Sambutan hangat dan sentimen positif terhadap penganjuran program realiti Gegar Vaganza di platform Astro Ria yang bakal melabuhkan tirainya pada hujung minggu ini dilihat sebagai penanda aras serta pemangkin semangat buat kami untuk terus menganjurkan sebuah lagi pertandingan berskala besar yang bertaraf tinggi walaupun dalam keadaan serba mencabar demi komitmen kepada pelanggan Astro yang tidak pernah berhenti menyokong kami selama ini.
“Menerusi Big Stage 2022, kami sekali lagi membuka ruang perkongsian kreatif khusus buat generasi BBNU di peringkat serumpun untuk mengembangkan bakat dan potensi diri. Oleh itu, setiap peserta perlu bijak merebut peluang yang ada untuk beraksi dengan cemerlang di pentas komersial secara ‘live’ seumpama ini kerana ia mampu memberi anjakan kepada prestasi dan hayat seni mereka,” katanya.
Dari segi penganjuran, Big Stage 2022 masih mengekalkan format asal penjurian yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu berdasarkan pemarkahan oleh barisan panel juri dan undian peminat secara online.
Untuk bahagian pertama, 100% keputusan ditentukan oleh panel juri yang akan menilai para bintang berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan sewaktu persembahan mingguan.
Tiga bintang yang mendapat markah terendah akan melalui proses penjurian untuk bahagian kedua yang ditentukan berdasarkan undian peminat secara online menerusi laman rasmi di www.gempak.com/bigstage serta menerusi aplikasi SYOK. Bintang yang mendapat undian terendah akan disingkirkan.
Bagi menyuntik pembaharuan segar agar lebih telus, buat pertama kalinya proses pemberian markah oleh panel juri akan dibuat secara langsung atau ‘live marking’ yang mana setiap pemarkahan akan tertera di skrin LED untuk tontonan umum.
Setelah semusim berehat daripada tugas penjurian, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kembali menyertai barisan panel juri bersama komposer terkenal, Ajai sebagai juri tetap buat kali kedua untuk musim ini.
Penerbitan Big Stage 2022 turut disokong oleh CUCKOO dan OPPO selaku Penaja Utama. Portal Gempak dan aplikasi SYOK turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. Manakala ERA pula hadir sebagai Radio Rasmi.
Dalam pada itu, Alif Satar dan Sherry Al Hadad masih lagi diberi kepercayaan untuk mengendalikan pentas utama selaku pengacara. Bagi Gempak TV, Isha Norsham dilantik sebagai hos untuk program kapsul Studio Big Stage.
Manakala personaliti ERA, Muna Bella dan Haiqal dari Thinker Studios pula digandingkan sebagai pengacara untuk program Big Stage Live Plus yang akan disiarkan secara serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.
Juara Big Stage 2022 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing- masing bakal membawa pulang RM15 ribu, RM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.
Rangkaian program Big Stage 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan dipancarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) mulai 6 Februari serta turut boleh turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Terdahulu, penyanyi Sarah Suhairi berjaya merangkul gelaran juara sewaktu penganjuran musim pertama (2018). Bintang Korea Selatan, Han Byul muncul sebagai juara musim kedua (2019). Manakala Azzam Sham pula diangkat sebagai juara musim ketiga (2020).