Hiburan
Teguh Dengan Prinsip, Artis Lain Gantikan Altimet Nyanyi Lagu Bunga di AJL33
Penyanyi rap Altimet teguh dengan prinsipnya untuk bersara daripada bidang nyanyian dan mengesahkan tidak akan beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) meskipun lagu Bunga mara ke pentas berprestij itu.
Sudah memilih penyanyi yang bakal menggantikannya, pengganti Altimet bakal diketahui sewaktu kempen promosi AJL33 berjalan.
"Seperti yang sudah saya katakan dahulu, saya takkan menyanyi di pentas AJL33 kelak.
"Macam yang telah saya putuskan sebelum ini, saya tidak akan menyanyi lagi selepas usia genap 40 tahun pada 27 November ini.
"Selepas ulang tahun kelahiran saya, akan ada konsert yang dibuat atas permintaan peminat untuk kali terakhir. Itu sahaja," katanya.
Altimet enggan memberikan kelonggaran kepada AJL33 kerana mahu berpegang pada janjinya.
"Keputusan sudah dilakukan. Saya dan pihak pengurusan sudah terlebih dahulu melihat kemungkinan yang ada jika lagu ini layak ke AJL33.
"Kalau saya menyanyi di AJL33, pastinya akan ada permintaan lain pula selepas ini. Saya sudah menetapkan pendirian dan perkara terbabit sudah diputuskan.
"Penyanyi gantian sudah ada dan saya harap dia akan membawakan lagu ini sebaik mungkin," katanya lagi.
AJL33 bakal berlangsung pada 3 Februari 2019 di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Foto: Instagram Muzik Muzik 33/ @badrulazhar_