Berita
"Teguran Korok Mu Kalau Bahasa..." - Diserang Netizen Toksik Di IG, Shahrulezad Hadkan Fungsi Mesej, Komen
Penerbit dan pengarah, Shahrulezad mendedahkan dirinya terpaksa mengehadkan fungsi mesej dan komen daripada netizen di Instagram miliknya.
Menurut penerbit Radius One itu, tindakan tersebut terpaksa dilakukan bagi mengelakkan daripada berterusan menerima 'kehadiran' sebahagian warga net yang dianggap cukup toksik.
"Untuk akaun stalker atau haters yang tak tahu hujung pangkal ni abang terpaksa hadkan 'penglibatan' korang sekadar mampu membaca saja status abam.
"Abam mintakmaaf ya abam terpaksa buat macam ni sebab banyak sangat manusia yang kurang ajar dan tak ada adab yang kadang-kadang 'menyerang' abam dengan komen kebencian yang kadang-kadang tak masuk akal dan bangang komennya.
"Itu belum lagi nak melayan profil-profil manusia gila seks baik jantan betina yang sangap 24 jam ajak aku main," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.
Menurutnya, buat masa ini, dia hanya akan membenarkan penerimaan mesej daripada individu yang diikutinya sahaja di media sosial.
"Abam buat macam ni sebab abam lemas dengan komen-komen negatif yang berbau toksik yang kononnya menggunakan alasan kata-kata nasihat atau teguran.
"Teguran korok (tengkorak) mu kalau bahasa yang digunakan sangat kurang ajar dan biadap. Kau bukan kenal aku pun dan aku jauh sekalilah kenal korang. Jadi, orang begini saya anggap toksik kepada saya.
"Saya lakukan ini untuk melindungi 'rumah' saya. Instagram ini merupakan rumah virtual saya. Hanya orang yang saling menghormati, positif, terbuka dan berhemah sahaja layak untuk berada di rumah abam," katanya.
Jelasnya, lagi dia juga tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya umum mahu terus berhenti daripada mengikutinya di media sosial.
Katanya, adakalanya dia rindukan ketika zaman pengikutnya di Instagram yang tidak ramai berbanding sekarang.
Shahrulezad yang popular dengan naskhah arahannya menerusi drama Nur itu mempunyai lebih 101,000 pengikut di Instagram.