Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Teka-Teki Terjawab! Iqbal Zulkefli Peserta Ke-12 Big Stage 2022, Ajai Bagi 5 Markah Jer Manakala TokTi ...

Izwan Isa
06/02/2022 14:58 MYT

Teka-teki siapakah peserta ke-12 Big Stage 2022 akhirnya terjawab apabila nama selebriti media sosial kontroversi Iqbal Zulkefli diumumkan sebentar tadi.

Iqbal melengkapkan barisan peserta program berkenaan bersama sebelas lagi peserta iaitu Tuah Adzmi, Aisha Retno, Yazmin Aziz, Daniel Chuer, Elica Paujin, Lia Aziz, Megat Rahim, Sofiaa dan Ajoi Zainal.

Sebelum ini, poster teaser siapakah peserta ke-12 telah dikongsikan oleh Gempak dan antara nama-nama yang disebut mengisi kekosongan tersebut adalah seperti Iman Troye, Masya Masyitah dan Daniesh Suffian.

Iqbal atau nama sebenarnya Ahmad Iqbal Zulkefli mula dikenali selepas kontroversinya bercinta dengan usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Vida mendapat liputan meluas.

Selepas ‘putus cinta’, Iqbal kemudian meluncurkan single perdananya berjudul Hujan. Single ciptaan Zai Hamzah dan lirik oleh Iqbal sendiri bersama Achoi Floor 88 dan Eric Fuzi.

Setakat ini, lagu yang dilancarkan pada 1 November tahun lalu telah menerima lebih 2 juta tontonan di laman Youtube.

Pada konsert pertama, Iqbal menyanyikan lagu Bila Bulan Bicara (Broery Marantika) dan berjaya mengumpul 5 markah dari Ajai. Manakala, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang ragu-ragu akhirnya memberikan 25 markah manakala Aliff Aziz memberikan 20 markah.

Pentas tambah panas apabila 'bekas kekasih' Iqbal, Datuk Seri Vida yang menjadi Presiden Netizen bangun ketika Iqbal memulakan persembahan dan menyatakan perasaannya berdebar-debar hingga terpaksa ditenangkan oleh Mas Idayu.

Bertindak profesional, kata Vida dia memuji keberanian Iqbal dan mengakui jejaka kelahiran Kelantan itu boleh menyanyi.

Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad, tugasan mengacara bagi kapsul Studio Bug Stage pula disandang oleh Isha Norsham. Sementara itu, personaliti ERA, Muna Bella dan Haiqal dari Thinker Studios pula digandingkan sebagai pengacara untuk program Big Stage Live Plus yang akan disiarkan secara serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

Penerbitan Big Stage 2022 turut disokong oleh CUCKOO dan OPPO selaku Penaja Utama. Portal Gempak dan aplikasi SYOK turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. Manakala ERA pula hadir sebagai Radio Rasmi.

Juara Big Stage 2022 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing- masing bakal membawa pulang RM15 ribu, RM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.

Rangkaian program Big Stage 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan dipancarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) mulai 6 Februari serta turut boleh turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

12 peserta yang bertanding untuk minggu seterusnya ialah Tuah Adzmi, Aisha Retno, Yazmin Aziz, Daniel Chuer, Elica Paujin, Lia Aziz, Megat Rahim, Sofiaa dan Ajoi Zainal.

Terdahulu, penyanyi Sarah Suhairi berjaya merangkul gelaran juara sewaktu penganjuran musim pertama (2018). Bintang Korea Selatan, Han Byul muncul sebagai juara musim kedua (2019). Manakala Azzam Sham pula diangkat sebagai juara musim ketiga (2020).

#Penyanyi #Viral #Konsert #Datuk Seri Vida #Indonesia #Malaysia #Kelantan #DSV #Vida #Peserta #Iqbal Zulkefli #Big Stage 2022