Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Telan Belanja Sebanyak RM6.5 Juta, Ejen Ali The Movie Bakal Ditayangkan Serentak Di Tiga Negara Bermula...

Hanafis Haris
23/10/2019 10:08 MYT
Filem animasi berkonsepkan ejen perisik paling ditunggu-tunggu iaitu Ejen Ali The Movie bakal ditayangkan serentak di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

Filem yang menelan belanja sekitar 6.5 juta itu bakal ditayangkan pada 28 November ini.

Menurut pengarah filem yang juga Ketua Pengarah Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin, Ejen Ali mengambil masa selama hampir dua tahun untuk disiapkan.

"Malah filem ini juga membabitkan 90 krew menerusi beberapa bahagian dan kepakaran bagi melengkapkan karya pertama kami ini.

"Kami berharap agar segala usaha serta keringat dicurahkan dalam penghasilan filem ini dapat menjangkaui harapan peminat tegar animasi Ejen Ali," katanya.

Usamah berkata demikian pada sidang media majlis pelancaran Ejen Ali The Movie di Mid Valley, sebentar tadi.

Dalam majlis itu juga, runut bunyi kedua iaitu Kita Jaga Kita yang dinyanyikan oleh Altimet, Cuurley dan Malik Abdullah turut diumumkan.

Lagu tersebut bakal dilancarkan di kesemua platform media pada 25 Oktober ini.

Untuk makluman, Ejen Ali The Movie mengisarkan seorang budak berusia 12 tahun bernama Ali yang direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA).

Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa dikenali sebagai IRIS.


#Animasi #Malaysia #Wau
;