Hiburan
"Tengah Nyanyi Lagu Getaran Jiwa, Kena Kejar Dengan..." - Jaclyn Victor Kongsi Kisah Persembahan Di Janda Baik
Tidak tahu sama ada mahu ketawa atau bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Jaclyn Victor ketika membuat persembahan pada satu majlis di Janda Baik.
Pada satu entri di Instagram miliknya, Jaclyn atau panggilan mesranya Jac berkongsi satu video dia sedang menyanyikan lagu Getaran Jiwa.
"Inilah 'hadiahnya' bila menyanyi di tempat terbuka di atas bukit di Janda Baik. Ada serangga mengejar saya dan seolah tidak mahu melepaskan saya seperti yang anda nampak ketika saya menyanyikan lagu P. Ramlee, Getaran Jiwa.
Ia hinggap di belakang saya dan berada di situ seketika. Nasib baik saya tidak perasan, kalau tidak pasti ada suasana kelakar, saya berlari seperti perempuan gila," tulis Jac dalam Bahasa Inggeris.
Tambah Jac, mujur ada tetamu yang baik hati yang sanggup membuang serangga tersebut yang melekat pada bahagian belakang bajunya.
"Mungkin serangga tersebut sukakan bau minyak wangi yang saya pakai, ataupun mungkin ia terlalu suka dengan suara saya dan mahu berada berdekatan," seloroh Jac.
Jaclyn Victor baru sahaja mengumumkan penceraiannya awal tahun ini bersama suaminya Shawn Rivera. Pasangan tersebut mempunyai dua orang cahaya mata, Jonah Joshiah Rivera dan Molly Marguerite Rivera.