Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Tengah Seronok Makan, Restoran Dirompak

Syafiqah Jalal
08/05/2017 05:25 MYT
Sepotong video hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan aksi sekumpulan perompak bersenjatakan parang menyamun sebuah restoran viral sejak Ahad.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah restoran di Ukay Boulevard, Hulu Klang, Selangor.

Memetik laporan media tempatan, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, enam lelaki tempatan yang memakai topi keledar telah menyamun pelanggan dan pekerja di restoran terbabit.

Menurutnya, suspek yang bersenjatakan parang telah mengarahkan mangsa untuk menyerahkan barang berharga.

"Dalam kejadian singkat itu, suspek turut mengambil wang tunai dari peti tunai kedai berkenaan dan terus melarikan diri.

"Dianggarkan kerugian berjumlah lebih RM29,000," katanya.

Tambahnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa seramai lapan orang membabitkan tiga lelaki dan lima wanita.

Susulan itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah diambil dan siasatan masih dijalankan.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini tampil untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.


Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: Sinar Harian
#Viral #Restoran #Viral #Samun #Taman Melawati
;