Laman Utama
Tengku Zafrul Nafi Tempah Nasi Ganja Guna Helikopter - “Mereka Guna Gambar Lama, Tapi Crop Tarikh”
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan beliau adalah individu yang membuat tempahan nasi kandar yang lebih dikenali sebagai nasi ganja dari sebuah restoran terkenal di Ipoh, Perak menggunakan helikopter seperti yang tular di media sosial semalam.
Menurut Tengku Zafrul, dia menerima satu mesej di WhatsApp yang tular menyatakan beliau menempah nasi ganja tersebut.
Malah, sebuah foto lama beliau yang sedang menikmati hidangan enak itu turut disebarkan.
"Lucu bila terima mesej WhatsApp yang dihantar, kononnya saya tempah nasi ganja dari Ipoh guna helikopter. Mereka guna gambar lama saya makan nasi berkenaan pada Disember tahun lalu, tapi dipotong bahagian tarikh.
"Saya sebenarnya dah lama tak makan nasi vanggey, tapi daripada tempah guna helikopter, baik guna khidmat penghantaran yang banyak ada macam Nasi Kandaq Transporter, Nasi Kandar Runner dan lain-lain, boleh juga bantu usahawan kecil," kata beliau melalui satu hantaran di Facebook sebentar tadi.
Beliau turut memuat naik foto sebenar ketika sedang menikmati nasi ganja tersebut dan jelas tertera tarikh 16 Disember 2020.
Sementara itu di ruangan komen, foto tersebut mengundang pelbagai reaksi wargamaya yang rata-ratanya mempertahankan menteri yang aktif berbasikal itu.
“Diaorang takde kerja. Stress sebab PKP kan. Finally orang tahu jugak yang tu pic lama. Tapi kalau dato nak makan nasi ganja Ipoh naik heli, jangan lupa ajak saya sekali. Lama tak balik Ipoh ni,” kata seorang wargamaya.
“Fitnah akhir zaman dah jadi makanan diorang ni. Dah tak takut dosa. Janji masyuk sebab ada penaja. Semoga Allah tunjukkan mereka jalan yang benar. Amin,” komen seorang wargamaya.
“Syabas Tengku Zafrul, saya puji tindakan Tengku. Semua ada fakta. Tiada siapa menidakkan lagi sesuatu yang benar. Semoga diberikan kesihatan yang baik untuk Tengku jalankan tugas yang baik demi rakyat malaysia tanpa mengira agama dan bangsa,” ujar seorang wargamaya.
“Inilah akibatnya bila dah lama sangat dok berkurung.. banyak masa terluang buat perkara lagha dan tak berfaedah. patut waktu PKP ni banyak muhasabah diri dan tambah amalan.. tapi ramai yang tambah dosa dengan buat fitnah,” luah seorang wargamaya.
“Betul tekaan saya. Tadi saya nampak orang post gambar Tengku Zafrul ni kat twitter. Rasanya gambar makan tu yang lama..aihh tak pasal-pasal jatuh fitnah,” tulis seorang wargamaya lagi.
Sehingga kini, penafian Tengku Zafrul itu mendapat hampir 800 perkongsian serta 13,000 tanda suka daripada wargamaya.
Terdahulu tular di media sosial apabila helikopter terbabit mendarat di Padang Ipoh semata-mata untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja.
Kehadiran helikopter berkenaan yang dinaiki dua lelaki dikatakan membuat penerbangan dari Kuala Lumpur yang mana helikopter itu dipercayai milik syarikat swasta, mengejutkan orang ramai sebaik apabila didapati terbang rendah sebelum mendarat di padang terbabit sekitar jam 9.55 pagi.
Berikutan tindakan tersebut, pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap individu serta syarikat pemilik helikopter terbabit dibuat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020 atau Akta 342.