Sebuah adaptasi daripada peristiwa sebenar, Gemencheh Boys menampilkan kisah inspirasi sekumpulan budak kampung yang berjaya menempa sejarah dalam dunia sukan antarabangsa bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Pada Ahad lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri iaitu Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkesempatan menonton tayangan awal filem tersebut di Central i-City, Shah Alam.

Menerusi video di Instagram Astro Shaw, Tengku Zafrul berkata filem itu memberi pengajaran kepada semua orang agar tidak berputus asa selain memberikan lima bintang untuk karya tersebut.

“The most valueable lesson atau pengajaran bagi saya ialah jangan putus asa. Never give up. Rating daripada satu hingga lima, saya bagi rating lima.

“Saya ucapkan tahniah kepada penerbit, dan juga pada semu ayang terlibat dalam menjayakan filem ini. Jangan lupa untuk menonton filem Gemencheh Boys yang akan ditayankan pada 26 Oktober 2023,” katanya.

Selain pelakon utama, tayangan tersebut juga disertai oleh Penerbit Eksekutif Gemencheh Boys merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad.

Filem ini diceritakan dari kaca mata atlet kriket kebangsaan, Shafiq Sharif yang mewakili Malaysia untuk Piala Dunia Kriket pada 2019 serta berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017.

Gemencheh Boys memaparkan kisah kanak-kanak dari kampung yang digelar sebagai ‘Enam Jahanam’ yang terkenal dengan sifat nakal, bagaimanapun karakter mereka berubah apabila seorang guru memperkenalkan permainan kriket.

Menampilkan tema persahabatan, pengorbanan dan harapan, perjalanan pelajar-pelajar ini bersama gurunya menuju ke gelanggang dunia diceritakan dalam pelbagai emosi.

Filem arahan pemenang Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia 2017 iaitu pengarah Jason Chong bersama Eric Ong membabitkan studio penerbitan terkemuka, Astro Shaw dengan kerjasama GV Corporate Advisory dan SOL Pictures itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 26 Oktober.

Filem ini membariskan pelakon hebat Pekin Ibrahim serta enam pelakon kanak-kanak yang dipilih melalui sesi uji bakat iaitu Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq sebagai tunggak utama.

Turut membintangi filem ini Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Farah Ahmad, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin, Arumugam A/L Vedan dan ramai lagi.

BACA SINI: Perjalanan Budak FELDA ‘Enam Jahanam’ Cipta Sejarah Dunia Kriket Dalam Gemencheh Boys

BACA SINI: "Nak Dapat Skrip Mencabar Lakonan Agak Susah" - Pekin Ibrahim

A post shared by Astro Shaw Sdn Bhd (@astroshaw)