Bintang utama filem Misteri Dilaila, Zul Ariffin akui filem yang sedang hangat ditayangkan di pawagam itu mencabar emosi dan fizikalnya.

Malah, sebagai seorang yang 'penakut' dia perlu mengatasi perasaan itu secara profesional tanpa mengganggu konsentrasi terhadap lakonannya.

"Masa hujung-hujung shooting suara saya dah mula serak-serak sebab asyik menjerit daripada mula. Tetapi saya cuba atasinya supaya tak lari konti.

"Jujurnya saya sebenarnya seorang yang penakut. Ketika shooting pun saya takut padahal saya sendiri yang berlakon.

"Bukannya takut dengan hantu ke apa, cuma babak-babak terkejut itu buatkan saya pun terkejut.

"Tambah pula bila tengok solekan kesan khas, kalau dalam set pun seram apatah lagi bila menonton," katanya kepada Gempak.

Tambah Zul, filem ini memang memerlukan penonton untuk merasai pengalaman runsing dan pening bersamanya untuk menyelesaikan misteri kehilangan isterinya, Dilaila.

"Saya tahu filem ini back to back berkisahkan saya, jadi saya mahu orang ikut merasai kerunsingan Jefri.

"Secara emosi dan fizikalnya memang agak penat walaupun bukannya filem aksi.

"Sepanjang penggambaran kami sebagai pelakon perlu sentiasa bersedia kerana penggambaran akan diadakan daripada malam hingga Subuh," ujar Zul lagi.

Misteri Dilaila mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth) bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser.

Malam pertama disana, Jefri diganggu dengan kejadian aneh. Keesokannya, Jefri mendapati Isterinya hilang.

Imam Aziz (Namron) muncul dengan berita gembira. Dia memberitahu, isterinya sudah ditemui dalam keadaan selamat. Jefri bagaimanapun terkejut wanita yang muncul bersama Imam Aziz bukan isterinya.

Wanita itu mengakui dirinya Dilaila. Persoalan mula bermain di fikiran, siapa betul dan salah dalam situasi berkenaan. Mampukah Jefri merungkai misteri kehilangan isterinya.