Nama Henry Golding tiba-tiba menjadi topik sohor kini apabila seorang pelakon Hollywood, Simu Liu mengeluarkan kenyataan tentang kegagalannya membintangi filem pecah panggung Crazy Rich Asians beberapa tahun lalu.

Biarpun melalui empat kali ujibakat, Liu mendedahkan namanya tetap ditolak kerana tidak mempunyai x-factor!

Tindakan Liu itu mengundang rasa kurang senang dalam kalangan warganet yang bangkit mempertahankan Golding di Twitter.

"Simu Liu, you are hot but not Henry Golding's hot. Sit down.

"Mereka tak salah pilih Henry Golding. Ramai rakyat Malaysia menonton filem itu kerana dia dan Michelle Yeoh.

"Crazy Rich Asians takkan berjaya tanpa Henry Golding. Rupanya sangat serasi dengan lelaki kacak Asia dan Borneo. Tengoklah diri sendiri.

"Rasanya kamu kena tengok dulu Henry Golding dan cermin balik diri sendiri.

"Bayangkan empat kali ujibakat dan masih tak dapat kalahkan Henry Golding. Jadi, Henry patut gantikan kamu dalam Barbie juga," ciap beberapa pengguna di Twitter.



Terdahulu, bintang Marvel, Simu Liu mengakui terkilan apabila tidak terpilih untuk membintangi Crazy Rich Asians ketika sesi ujibakat kerana disifatkan tiada 'it factor'.

Pada 2018, filem yang diadaptasi dari novel terkenal itu mencapai kutipan pecah panggung dan meraih pujian atas kehebatan lakonan pelakon dari Asia.

Tahun lalu, Liu memberitahu majalah Interview dia telah melalui sesi ujibakat sebanyak empat kali untuk filem terbabit namun tetap ditolak dari produksi.

"Seseorang memberitahu yang saya tidak cukup bagus dan tidak cukup digemari ramai. Saya tak punyai daya penarik yang membuatkan penonton terpaku.

"Ketika itu rasanya amat sukar bagi saya, saya hanya terbayangkan sama ada mampukah saya menjadi pelakon utama atau hanya pelakon pembantu sepanjang karier nanti," katanya menerusi podcast How To Fail With Elizabeth Day baru-baru ini.

Untuk rekod, Liu yang berasal dari Kanada pernah membintangi filem Marvel popular tahun lalu, Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings serta beberapa filem lain antaranya Pacific Rim, Bright: Samurai Soul dan Women Is Losers.

Liu turut popular menerusi siri televisyen Kim's Convenience yang turut menobatkannya sebagai Oustanding Performance dalam ACTRA Awards 2017.

Filem romantik komedi, Crazy Rich Asians yang dibintangi Golding, Michelle Yeoh, Gemma Chan, Awkwafina dan Constance Wu ditayangkan pada 2018 dan mendapat kutipan pecah panggung AS$238.5 juta (RM1.04 bilion).