Tepi Sikit Oren Coral, Warna Tahun 2020 Jadi Milik Biru Klasik
Azwa Rahman
06/12/2019 11:28 MYT
06/12/2019 11:28 MYT
Syarikat koordinasi warna terkenal, Pantone Color telah mengumumkan warna bagi tahun 2020 dan ia menjadi milik biru klasik (19-4052).
Memetik laporan CNN, Pantone yang berpengkalan di New Jersey, Amerika Syarikat memilih warna biru sebagai simbol kepada rasa tenang, keyakinan dan perhubungan. Malah, ia turut melambangkan sesuatu yang tak dimakan usia serta keringkasan.
Mewakili sifat kuat dalam sisi kelembutan, biru klasik yang menjadi kegemaran ramai orang turut memberikan maksud kebergantungan dan stabiliti. Biru klasik juga sangat mengingatkan kita kepada warna langit serta lautan.
Menurut Pengarah Eksekutif Pantone Color Institute, Leatrice Eiseman, anjakan biru klasik ini menggalakkan kita melihat lebih jauh untuk memperluas pemikiran, mencabar minda untuk berfikir dengan lebih mendalam, meningkatkan perspektif dan membuka aliran komunikasi.
Memasuki tahun baru 2020, warna biru klasik pilihan Pantone semestinya menjadi pilihan untuk pelbagai rekaan fesyen, gajet, kelengkapan rumah malah alat solek.
Malah, bakal pengantin baru yang pening memikirkan warna bagi perkahwinan boleh menjadikan warna biru klasik sebagai tema.
Adakah anda bersedia untuk menukar almari pakaian anda kepada warna biru klasik?
Ini antara cadangan gaya biru klasik yang anda boleh gunakan bagi tahun 2020
Terdahulu, warna oren coral dipilih sebagai warna tahun 2019 dan ungu violet sebagai warna tahunan 2018.