Tepis Dakwaan Netizen, Ibu Kandung Musa Nafi Terima Bayaran Daripada Mizz Nina - “Tidak, Saya Tidak Dibayar”
07/02/2024 07:55 MYT
Ibu kandung Musa, Athira menepis dakwaan netizen yang mengatakan dia dibayar oleh Mizz Nina.
Athira menegaskan, tiada unsur rasuah yang berlaku, sebaliknya dia hanya mahu menyatakan kebenaran.
Lanjutan kekeliruan yang berlaku, Athira turut memohon Noh untuk tampil memberitahu perkara yang betul dan menjernihkan keadaan.
“Tidak, saya tidak dibayar. Saya hanya mahu dia beritahu perkara yang betul, dari apa yang dia rancang sampai apa yang berlaku. Saya juga sudah membuat laporan polis pada Januari lalu bagi tujuan keselamatan,” katanya.
Semalam, Noh mendakwa bekas isterinya, Mizz Nina bukanlah satu-satunya penjaga yang sah ke atas anak angkat mereka, Musa.
Noh atau nama sebenarnya Muhammad Noh Salleh yang ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam semalam berkata ibu kandung Musa juga sudah membenarkan dia untuk menjaganya menerusi akuan berkanun yang Athira sendiri serahkan kepadanya.
“Kami sudah buktikan dan tunjuk surat itu kepada pihak Nina. Nama saya juga dinyatakan sebagai penjaga sah Musa dalam dokumen yang saya sendiri daftarkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa ditemani Nina,” katanya.
Terdahulu, Nina mendakwa Noh membawa keluar Musa tanpa sebarang kebenaran dan pengetahuannya. Menurut Nina, kejadian itu berlaku pada 19 Disember tahun lalu sewaktu dirinya dalam penerbangan pulang ke Kuala Lumpur. Nina ke luar negara atas urusan kerja.
Walau bagaimanapun, Noh menafikan dakwaan yang mengatakan adanya unsur penculikan. Malah, Noh mendakwa sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak itu.
Noh kemudiannya tampil memuat naik video di Instagram selepas dituntut oleh Athira untuk menarik balik kenyataannya, buat permohonan maaf secara terbuka dan padam gambar Musa di media sosial dalam tempoh 24 jam.