Ramai selebriti mengambil peluang terbabit dalam aktiviti kemanusiaan bersama masyarakat yang disertai anggota sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO) tetapi jarang peluang sama diberikan pada kanak-kanak.

Ini kerana faktor kesalamatan kanak-kanak untuk berada di lapangan bersama masyarakat yang perlu diberi lebih perhatian agar tiada perkara tidak diingini berlaku.

Menyedari kepentingan aktiviti kemanusiaan antara masyarakat dengan pelajar sekolah, RizQ Islamic School (RIS) mengambil inisiatif merintis program Pendidikan Inter-Generasi bertujuan mendedahkan pelajar dengan aktiviti kemanusiaan di luar lingkungan sekolah.

Membawa aspirasi untuk menyebarkan kebaikan pada komuniti, program sedemikian diharapkan dapat memberi manfaat pada pelajar untuk menerapkan nilai kemanusiaan dari awal usia kanak-kanak untuk melahirkan generasi masa depan yang sentiasa berusaha untuk membantu komuniti yang memerlukan.



Menariknya, program Pendidikan Inter-Generasi ini adalah satu mekanisme yang membolehkan semua individu daripada pelbagai lapisan usia untuk belajar bersama-sama antara satu sama lain.

Aktiviti diadakan menerusi program 'outreach' ke pusat penjagaan warga emas di seluruh negara yang disertai bersama guru dan pelajar.

Kali ini, RIS akan menyertai acara Jom Karnival Hargai Warga Emas 2018 yang akan diadakan di Dataran Nilai, Negeri Sembilan pada 27 Oktober ini. Acara bermula dari 8 pagi hingga 5 petang.

Teks oleh: Elrafaei Sapi