“Terapi Hati, Solat Berjemaah Dan Jalani Ibadah Bersama Pesakit Lain” - Ashraf Muslim Sayu Tinggalkan Wad

Mya Amri
Mei 8, 2020 07:15 MYT
Pelakon Ashraf Muslim akui berasa sayu untuk meninggalkan wad dan juga rakan-rakan kalangan pesakit COVID-19 yang sudah dianggap seperti keluarga.
Ashraf meluahkan isi hatinya menerusi posting terbaru di akaun Instagram miliknya semalam.
“Assalamualaikum. Masanya sudah tiba, berat hati ini untuk meninggalkan sahabat-sahabatku di wad ini. Mereka telah ku anggap sebagai keluargaku.
“Allahuakbar, tak boleh nak terjemahkan perasaan ini... 3 hari sebelum balik memang sayu untuk tinggalkan wad. Saya mohon maaf kepada pakcik, abang-abang dan adik-adik warga Wad 31 dan Doktor dan nurse yang menjaga saya dan rakan-rakan saya di sini.
“Terima kasih kerana terima saya dan rakan-rakan saya seadanya. Tak lupa juga kepada mereka yang menyumbang makanan dan minuman kepada kami di sini. Semoga Allah murahkan rezeki kalian semua,” tulisnya
Bersyukur dikurniakan kesembuhan, bagaimanapun Ashraf mendedahkan dia sebenarnya disahkan pulih daripada COVID-19 sejak 23 April lalu.
Namun Ashraf memilih untuk terus dikuarantin di hospital atas sebab-sebab tertentu.
"Apapun, saya ingin minta maaf kepada kawan-kawan termasuk rakan artis dan wartawan yang ada bertanya bila saya boleh keluar dari wad, tapi saya sentiasa mengelak.
"Saya sebenarnya sudah lama disahkan negatif, sehari sebelum Ramadan. Namun, saya memilih tinggal di wad 31 untuk menjalani kuarantin diri. Banyak sebab keputusan ini dibuat dan yang paling penting, saya dapat solat berjemaah dan menjalani ibadah bersama dengan pesakit lain.
"Ini adalah terapi hati saya untuk lebih tenang. Maafkan saya, dengan tindakan dibuat. Banyak cerita, pengalaman, perkongsian dilakukan bersama di mana pesakit datang daripada pelbagai kaum, agama, dan latar belakang.
"Tapi hanya satu sahaja yang kami inginkan iaitu 'ketenangan'. Jangan risau sahabat, Allah kan ada, dia selalu bersama-sama kita. Mengadulah pada dia, Insyaa-Allah akan dibantu," katanya.
Di samping itu juga, Ashraf berharap rakyat rakyat Malaysia dapat mendoakan kesejahteraan pesakit COVID-19 supaya segera pulih dan dapat bertemu ahli keluarga mereka.
“Sama-sama kita doakan semoga pesakit-pesakit COVID-19 cepat pulih dan dapat berjumpa dengan ahli keluarga dan penyakit ini hilang dari muka bumi ini.
“Insyaa-Allah, terima kasih Allah kerana memilihku sebagai pesakit Covid-19 dan syukur padamu ku merasa nikmatnya" katanya.
BACA: “Sebak Di Dada, Macam-Macam Perasaan Bila Naik Ambulance” – Ashraf Muslim Positif COVID-19
Terdahulu, Ashraf menerima rawatan selepas disahkan positif wabak berkenaan pada 12 April lalu.
#Ashraf Muslim #COVID-19