Semalam kecoh seketika apabila vokalis kumpulan Hujan, Noh memuat naik foto mengangkat dua jari tengah (isyarat lucah) di laman sosial rasmi Instagram (IG) @Hujanband.

Aksi Noh itu mengundang rasa kurang senang di kalangan pengikut IG yang bertindak menegur vokalis tersebut.

Warga net berpendapat Noh seharusnya menujukkan contoh yang lebih baik dan menjaga adab, tambahan lagi foto yang dimuat naik itu tidak sepadan dengan kapsyen yang ditulis.

Di ruangan kapsyen foto tersebut @HujanBand memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT apabila majlis Manic Mondo 2 dihadiri ramai peminat.

Mereka juga kesal kerana sepatutnya sebagai seorang selebriti Noh seharusnya mempamerkan contoh yang baik lebih-lebih lagi memiliki ramai peminat dikalangan orang muda dan remaja.

Noh juga diingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut kerana aksi seperti itu boleh mengundang fitnah.

Bagaimanapun, foto berkenaan yang menerima ribuan tanda suka kemudian dipadam kira-kira pukul 3 petang semalam (Selasa).



Sementara itu Noh ketika dihubungi, enggan mengulas lanjut mengenai foto tersebut dan memberitahu mahu memberi fokus kepada aktiviti kemanusiaan yang sedang disertainya di Lubnan ketika ini.

“Tak nak komen. Saya kini berada di Lubnan dan mengalami demam kerana cuaca di sini terlalu sejuk,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, bercerita mengenai misi kemanusiaan itu, Noh berkata, mereka berlepas ke Lubnan semalam dan akan berasa di sana selama seminggu.

“Untuk kunjungan kali ini, kami berjaya mengumpul sumbangan kira-kira RM1.2 juta. Faizal Tahir turut menyertai misi ini buat pertama kali.

“Dalam musim sejuk ketika ini, desakan hidup di sini lebih mencabar. Oleh itu, kami sumbangkan kayu api selain hidupkan semula kilang roti yang sudah lama tutup,” katanya.

Selain itu, mereka turut membantu dari segi pendidikan untuk anak muda di sana.

“Kami dalam proses nak buka bangunan sekolah di sini. Sesi pembelajaran sudah bermula namun masih menumpang di bangunan sekolah lain,” katanya.

Sumber: Rotikaya & Harian Metro