Tidak mahu melepaskan kedatangan Aidilfitri yang jatuh pada 13 Mei 2020 begitu sahaja, Monsta meneruskan tradisi sambutan bersama BoBoiBoy dengan sebuah bingkisan yang cukup istimewa.

Bersempena dengan sambutan 10 tahun bersama BoBoiBoy, ia mengangkat tema BoBoiBoy Beyond. Tema tersebut akan membawakan dua program istimewa raya bersempena dengan perayaan Aidilfitri.

Salah satu daripada program khas Monsta tahun ini adalah iklan raya yang bertemakan Memori Eidulfitri. Selepas iklan raya Kebenaran Raya pada tahun 2019 yang telah viral dan berjaya mencapai tontonan sebanyak berbelas juta di sekitar ruangan media sosial, iklan raya tahun ini pastinya dinanti-nantikan oleh jutaan peminat dan para penonton tempatan.

Buat pertama kalinya, Monsta akan menampilkan seisi keluarga adiwira negara ini di dalam beberapa adegan nostalgia seperti BoBoiBoy bersama ayahnya Amato, Tok Aba dan juga Umi, nenek kepada BoBoiBoy.

Lebih mengejutkan lagi adalah kemunculan pertama ibu BoBoiBoy yang sentiasa menjadi topik hangat perbualan para penonton siri animasi ini. Ingin melihat sekilas rupa ibu kepada superhero tempatan negara?



Pastikan anda menonton iklan raya Memori Eidulfitri yang berdurasi selama 4 minit setengah ini hingga ke pengakhirannya.

Iklan raya Memori Eidulfitri akan dimuatnaik pada 7 Mei(Jumaat), jam 8 malam di laman YouTube rasmi Monsta serta Facebook rasmi BoBoiBoy. Ia juga akan turut ditayangkan di kaca televisyen dan laman-laman digital utama, bukan sahaja di Malaysia, malah akan turut ditayangkan di stesen televisyen Indonesia.

Kemeriahan raya dari Monsta tidak terhenti disitu. Lagu raya popular Papa Pipi, ‘Aneka Baju Raya’ yang dinyanyikan oleh watak animasi popular Papa Zola dan Pipi Zola kini tampil dengan olahan baru yang dinyanyikan oleh selebriti terkenal Hannah Delisha.

Kemerduan suara dan irama nyanyian artis Hannah Delisha ini bakal membuatkan para pendengar dan penonton merasai keseronokan untuk memperagakan pelbagai jenis baju raya pada Aidilfitri ini.

Lagu Aneka Baju Raya ini akan dimainkan di saluran-saluran radio utama tanah air dan juga pelantar muzik digital. Klip penuh muzik video lagu Aneka Baju Raya versi Hanna Delisha boleh ditonton di YouTube rasmi Monsta, Facebook dan Tik Tok rasmi Papa Pipi.



Sambutan Aidilfitri sememangnya akan membawa keriangan serta imbauan memori hari-hari lalu yang dipenuhi dengan keseronokkan beraya bersama seisi keluarga.

Walaupun dengan perintah kawalan pergerakan PKP dan PKPB yang telah dikuatkuasakan untuk musim perayaan tahun ini, Monsta berharap para peminat dan penonton yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri akan tetap terus memeriahkan hari kemenangan umat Islam ini dengan rasa gembira dan bersyukur, tidak kira secara bersendiri atau dengan keluarga yang terdekat.