Hiburan
“Terbaiklah YB!” – Harung Air Bantu Mangsa Banjir, Shahrol Dipuji Warganet
Pada Selasa lalu Kluang, Johor ditimpa bencana banjir dan semalam (Rabu), dua Pusat Penempatan Sementara (PPS) dibuka di daerah tersebut bagi menempatkan 67 orang mangsa daripada 18 keluarga.
Tidak berdiam dengan keadaan tersebut, pelawak Shahrol Shiro yang juga anak jati Kluang, turut sama mengharung bah untuk membantu penduduk setempat.
Tindakan Shahrol mendapat pujian warganet, terutama anak muda Kluang yang berbangga dengan sikap ringan tulang pelawak tersebut.
Mereka turut memuji Shahrol yang tidak pernah lokek menghulurkan bantuan setiap kali penduduk setempat mempunyai masalah.
Dalam pada itu Shahrol telah berkongsi sepotong video yang menunjukkan keadaan semasa di Kluang menerusi laman sosial Instagram (IG)nya.
Shahrol turut mendoakan keluarga yang terlibat dalam dugaan banjir di daerah Kluang tabah menghadapi ujian Ramadan ini.
“Besarnya pahala hadir bersama besarnya ujian..Semoga semua keluarga yang terlibat dalam dugaan banjir di daerah Kluang ini tabah menghadapi dan mendapat rahmat darinya.
“Tahniah dan terima kasih diucapkan buat Pemuda dan bahagian UMNO Kluang, NGO, Anggota Polis dan Bomba Kluang, JPAM,Pejabat Daerah Kluang, MPK serta yang terlibat secara langsung atau tidak dalam membantu mangsa yang terlibat.
“Semoga kita memperoleh rahmat darinya. #AkuBudakKluang #KitaBangkit #NeverSurrender #PemudaKluang,” tulisnya.
Banjir berlaku kira-kira jam 6.30 petang Selasa selepas air di Sungai Melantai dan Sungai Mengkibol melimpahi tebing sehingga memasuki kediaman penduduk dan menjejaskan keselamatan mereka.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kluang kemudiannya memindahkan mangsa terlibat iaitu penduduk Kampung Bentong Luar, Kampung Bentong Dalam, Kampung Palembang Lama dan Kampung Palembang Baru.
Must-Watch Video