Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Terbangkan 350 Dron, Kos RM2 Juta! Ini Perkara Yang Korang Perlu Tahu Tentang 'Bulan Bintang Takes The Sky'!

Amri Hassan
19/02/2023 08:20 MYT
Luar biasa! Itu yang boleh digambarkan tentang acara Bulan Bintang Takes The Sky yang berlangsung meriah di perkarangan Menara Kuala Lumpur pada Sabtu malam.

Tak cukup dengan pertunjukan fesyen, himpunan bintang-bintang tersohor tanah air, jenama pakaian lokal Bulan Bintang yang mencipta fenomenanya sejak tahun lalu itu juga berjaya membawa teknologi menerusi project mapping dan dron dalam dimensi berbeza.

Kos RM2 juta Bulan Bintang Takes The Sky

Hal yang jarang-jarang berlaku dalam pertunjukan fesyen, seolah-olah menyaksikan persembahan Super Bowl di Amerika Syarikat, Bulan Bintang berhabis RM2 juta demi menjayakan acara mereka.

Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi seharusnya berbangga, gimik menerbangkan dron terbanyak dalam pelbagai formasi dalam tempoh 10 minit itu telah tersenarai di Malaysia Book of Records.

"Kami mahu melakukan kelainan yang tidak pernah dibuat dalam sebarang pertunjukan fesyen. Formasi dron ini dibawa khas dari United Kingdom. Dan saya mendapat inspirasi selepas melihat sendiri kehebatan formasi dron ini ketika bercuti ke Disneyland Paris.

"Apa yang dapat saya simpulkan, kos untuk formasi ini sendiri menelan belanja 80 peratus daripada kos keseluruhan iaitu RM2 juta," katanya kepada Gempak.



Pertunjukan fesyen ‘Bulan Bintang Takes The Sky’ ini juga turut menampilkan barisan duta terkemuka untuk tahun ini seperti Shukri Yahaya, Sharnaaz Ahmad, Nadhir Nasar, Beto Kusyairy, Hannah Delisha dan Daiyan Trisha selain daripada persembahan istimewa daripada artis-artis tanah air seperti Dolla, Ernie Zakri dan Syamel.

Pemilihan keenam-enam selebriti terkenal tanah air itu bertepatan dengan demografik pelanggan setia Bulan Bintang dan koleksi baharu Bulan Bintang Sister yang diperkenalkan sejak tahun lalu.

"Pada tahun ini kami memilih barisan selebriti yang memberi pengaruh kepada masyarakat Malaysia secara keseluruhannya. Kami ada duta di setiap peringkat umur dan berharap Bulan Bintang dapat memberi impak hebat pada tahun ini," katanya.

326 pilihan warna Bulan Bintang!

Menampilkan koleksi Raya Ready To Wear (RTW) sedondon seisi keluarga yang terdiri daripada 68 rekaan dan 326 pilihan warna eksklusif, Bulan Bintang meletakkan sasaran 1 juta unit terjual sebelum Syawal menjelang.

Didatangkan dengan pelbagai pilihan saiz dari umur 0-1 tahun sehingga 5XL bagi golongan plus size, koleksi Bulan Bintang ini semestinya boleh digayakan oleh semua.

"Ini merupakan tahun kedua kami memperkenalkan rekaan baju wanita dan saya cukup teruja kerana rekaan tahun ini lebih bervariasi kerana kami punya pereka fesyen sendiri. Dan sudah semestinya rekaan kali ini lebih baik daripada tahun sebelumnya.



“Dan kami lakukan penambahbaikan pada tahun ini dengan tidak meletakkan jenama Bulan Bintang pada baju namun meletakkannya pada butang baju Melayu. Malah zip pada bahagian lengan dibuat bagi memudahkan pemakai mengambil wuduk.

"Untuk tahun lepas, kami peroleh hampir RM30 juta untuk jualan hari raya. Dan untuk tahun ini kami sasarkan 400 peratus peningkatan dengan jualan 1 juta unit baju. Jualan akan bermula pada hari ini (18 Februari) dan saya jangkakan baju akan habis terjual sekurang-kurangnya seminggu sebelum raya," ujarnya.

Bulan Bintang mempunyai sebanyak 1 juta helai koleksi baju raya yang boleh beli bermula 18 Februari 2023 di laman sesawang Bulan Bintang juga pembelian secara fizikal dengan mengunjungi butik Bulan Bintang di cawangan Bangi, Shah Alam, Ukay Boulevard, Johor Bahru, Kubang Kerian dan Senawang.

A post shared by BAJU MELAYU FAVOURITE (@bulanbintanghq)


#Viral #Fesyen #Raya #Aidilfitri #Baju Melayu #Malaysia Book of Records #Dron #Bulan Bintang
;