Penyanyi Tuah Adzmi mendedahkan yang dia terpaksa menjual kereta kesayangan miliknya disebabkan tiada tawaran nyanyian selain kehilangan sumber pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

Pemilik nama lengkap Arumi Nafis Mohd Adzmi itu berkata, dia terpaksa berbuat demikian demi meneruskan kelangsungan hidupnya pada waktu itu.

A post shared by Tuah Adzmi (@officialtuah)


“Ketika PKP pertama yang dijalankan pada 2020, kita tidak boleh bekerja dan undangan nyanyian pun tiada. Simpanan pula semakin surut. Jadi, disebabkan tiada pilihan, saya memutuskan untuk menjual kereta Mini Cooper milik saya.

“Saya menjual kereta saya pada harga RM18,000 sahaja. Nak jual dengan rakan pun tak boleh sebab memang kita semua sedang PKP masa tu. Memang saya terdesak,” katanya.

Tuah ditemui semasa sidang media dan pengumuman finalis program Big Stage 2022 yang diadakan di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Melanjutkan bicara, Tuah berkata yang dia menggunakan duit hasil jualan keretanya itu sebagai modal untuk berniaga makanan dan pakaian. Malangnya, mungkin disebabkan masa yang kurang sesuai, perniagaannya juga tidak menjadi.

“Selain untuk tampung kehidupan, saya gunakan duit jual kereta itu untuk jadikan modal berniaga roti john pada bulan Ramadan. Dalam masa sama saya juga jual t-shirt. Begitupun, perniagaan tak menjadi.

“Nasib baik ada sebuah kereta MyVi yang masih boleh digunakan. Namun, kereta itu digunakan oleh ibu selepas dia pencen. Tetapi, saya pakai dulu,” katanya lagi.

Tuah bagaimanapun bersyukur kerana bidang hiburan sudah sedikit meriah dan dia sudah boleh mula bekerja untuk menyimpan duit semula.

“Saya nak kembali bina kerjaya dan mahu senangkan ibu. Cukup makan minum kami barulah saya akan fikir tentang kereta baharu,” tuturnya.

Menyentuh mengenai Big Stage 2022, Tuah berkata yang dia sangat bersyukur kerana terpilih untuk menyertai program berkenaan.

“Sudah tiga kali saya menyertai uji bakat untuk Big Stage dan akhirnya saya diterima. Alhamdulillah sudah rezeki. Saya berharap agar Big Stage 2022 dapat menjadi sebuah platform untuk saya belajar dan menonjolkan apa yang saya ada,” katanya menutup perbualan.

Selain Tuah, peserta lain yang terlibat termasuklah Aisha Retno, Yazmin Aziz, Daniel Chuer, Elica Paujin, Lia Aziz, Megat Rahim, Sofiaa, Ajoi Zainal, Syafiq Abdilah (Brunei) dan Tegar Septian (Indonesia).

Big Stage 2022 bakal bersiaran bermula 6 Februari depan di Pusat Konvensyen, Antarabangsa Putrajaya (PICC) menerusi saluran Astro Ria (104).



***Gempak Most Wanted is back! Korang boleh mula mengundi artis kesayangan korang di sini

Selain itu, teruskan mengundi untuk Top5 Anugerah MeleTOP ERA 2021 di sini #YangFreshYangLegend

Saksikan AME 2021 pada 30 Januari ini secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di saluran Astro Ria, jam 9.00 malam.​